KUANTAN – Ketika Malaysia berdepan cabaran peralihan tenaga, keselamatan bekalan dan tuntutan ekonomi rendah karbon, pembukaan Kilang Bio Eneco Sdn. Bhd. di Gebeng muncul sebagai langkah strategik nasional dalam memperkukuh landskap tenaga hijau negara.
Perasmian kilang berteknologi tinggi yang disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu juga menandakan komitmen sektor swasta menyokong agenda Ekonomi MADANI dan sasaran kelestarian negara.

Keberangkatan baginda disambut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak, Pengerusi Elridge Energy Holdings Berhad Tan Sri Dr Azmil Khalili Khalid dan Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Elridge Energy Holdings Berhad Yeo Hock Cheong.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang Datuk Mohamad Nizar Najib dan Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Hock Cheong, berkata, bio tenaga memainkan peranan penting sebagai penyelesaian peralihan yang realistik, boleh diskalakan dan tersedia untuk digunakan ketika dunia beralih ke arah tenaga bersih.
“Kilang ini bukan sahaja mengukuhkan keselamatan tenaga, malah menukar sisa industri kelapa sawit kepada bahan api boleh diperbaharui bernilai tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, termasuk Jepun,” katanya.

Pemilihan Gebeng Industrial Estate sebagai lokasi operasi disifatkan strategik berikutan kedudukannya berhampiran Pelabuhan Kuantan sekali gus menyokong kecekapan logistik, eksport berskala besar dan kebolehpercayaan bekalan jangka panjang.
Projek bio tenaga ini juga dianggap sebagai pemangkin baharu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar di Pantai Timur sambil mewujudkan peluang pekerjaan, pembangunan rantaian bekalan tempatan dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global tenaga boleh diperbaharui.

Elridge Energy Holdings Berhad juga dijangka terus memperluas kapasiti tenaga hijau negara secara berdisiplin sejajar keperluan pasaran jangka panjang dan keutamaan keselamatan tenaga nasional.
Kilang Bio Enerco di Gebeng, Kuantan merupakan yang ketiga milik syarikat itu selepas di Telok Gong Pelabuhan Klang dan Kapar, Klang (Selangor) dan yang berikutnya bakal dibuka di Pasir Gudang, Johor.
