Petaling Jaya – Restoran K Garden terus melakar kejayaan apabila secara rasminya membuka cawangan ketiga, sekali gus memperluas jenamanya dalam industri makanan dan minuman (F&B) tempatan. Pembukaan ini menjadi bukti kepercayaan pelanggan terhadap kualiti hidangan serta perkhidmatan yang ditawarkan sejak penubuhan cawangan pertama.
Cawangan terbaharu ini hadir dengan konsep yang lebih moden dan selesa, menampilkan ruang makan yang luas serta susun atur dalaman yang elegan. Reka bentuknya direka khas untuk memberikan pengalaman menjamu selera yang lebih eksklusif dan santai, sesuai untuk kunjungan bersama keluarga, rakan-rakan mahupun majlis korporat.
Diasaskan oleh pasangan selebriti Maryam You Narae dan Ryzal Ibrahim, cawangan ketiga yang terletak di IOI Mall Damansara ini merupakan lonjakan baharu bagi membuktikan bahawa makanan Korea boleh dinikmati semua golongan, termasuk masyarakat Muslim di Malaysia.
“Kami memilih lokasi ini kerana lot kedai disini memiliki ruang privasi bagi para pelanggan yang berhasrat mengadakan majlis kecil untuk keluarga dan rakan-rakan.
“Disini juga bersesuaian dengan konsep restoran yang menggunakan dapur grill di setiap meja makan menepati hidangan yang disediakan” katanya.
K Garden terkenal dengan pilihan hidangan yang menampilkan bahan-bahan segar dan berkualiti tinggi. Di cawangan ketiga ini, pelanggan bukan sahaja dapat menikmati menu kegemaran ramai seperti hidangan daging panggang, kimchi dan pelbagai pilihan sos istimewa, malah turut diperkenalkan dengan beberapa menu baharu sempena pembukaan rasmi.
“Kami amat bersyukur atas kasih dan sokongan semua pelanggan yang terus memberi inspirasi untuk kami berkembang. Pembukaan cawangan ketiga ini bukan sekadar impian kami berdua, tetapi simbol semangat untuk terus menyajikan rasa Korea sebenar dalam suasana yang selamat, halal, dan selesa untuk seisi keluarga,” ujar Maryam.





Tambah Ryzal, cawangan ketiga ini merupakan sebahagian daripada pelan pengembangan strategik syarikat bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat. Selain itu, langkah ini juga membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kawasan sekitar.
Majlis perasmian pembukaan turut dimeriahkan dengan pelbagai promosi istimewa dan tawaran menarik bagi menghargai sokongan pelanggan setia. Sambutan yang diterima amat memberangsangkan dan mencerminkan keyakinan orang ramai terhadap jenama K Garden.
Dengan pembukaan cawangan baharu ini, K Garden optimis untuk terus berkembang dan mengekalkan reputasinya sebagai destinasi pilihan bagi pencinta makanan berkualiti. Kejayaan ini menjadi satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan restoran tersebut untuk terus memberikan pengalaman gastronomi terbaik kepada pelanggan di seluruh negara.
Pelancaran rasmi restoran ini diserikan dengan kehadiran pelajar dari Maahad Tahfiz Al Muhammadi dan penghuni Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras.


Para tetamu disajikan dengan menu eksklusif khas hari pelancaran, persembahan muzik akustik dan sesi potong reben bersama pengasas. Media serta jemputan VIP turut diberi peluang mencuba sendiri pengalaman BBQ yang menjadi identiti utama K Garden membakar daging segar di meja sambil menikmati suasana penuh keakraban.
