KUALA LUMPUR – HONOR akan memperkenalkan robot humanoid berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang pertama sekali di Mobile World Congress (MWC) 2026 di Barcelona, Sepanyol pada 1 Mac 2026.
Pengumuman ini merupakan sebahagian daripada strategi HONOR untuk menggabungkan inovasi perkakasan dengan ekosistem AI. Ia seiring dengan pelancaran pelbagai peranti generasi baharu yang turut diperkenalkan pada acara yang sama.
Robot humanoid HONOR hadir dengan reka bentuk futuristik berwarna hitam matte, dilengkapkan dengan muka kaca berkilat yang menampilkan palang cahaya mendatar sebagai “mata” serta modul kamera yang diletak pada bahagian dahi.
Menurut laporan oleh Bloomberg, robot ini direka sebagai “service robot” atau robot perkhidmatan. Ia dikatakan mampu membantu pengguna dalam pelbagai tugas harian, termasuk aktiviti membeli-belah.
Selain itu, HONOR menyatakan robot ini akan berfungsi secara bersepadu dengan peranti Robot Phone mereka, mencerminkan visi ekosistem manusia-mesin yang holistik.
Barisan Peranti Baharu di MWC 2026
Selain robot humanoid, HONOR turut memperkenalkan beberapa peranti flagship yang menunjukkan perkembangan pesat ALPHA PLAN. Strategi inovasi tersebut sebelum ini telah diperkenalkan pada MWC Barcelona 2025.
Antara peranti yang akan dilancarkan dalam acara tahun 2026 ini:
- HONOR Robot Phone: Peranti konsep eksperimental yang menggabungkan modul kamera robotik boleh tanggal. Ia beroperasi secara bebas dari telefon bagi merakam foto dan video dari pelbagai sudut tanpa memerlukan dron atau tripod.
- HONOR Magic V6: Telefon lipat generasi baharu dengan rekaan lebih nipis dan ringan, bateri lebih besar serta ketahanan yang dipertingkatkan.
- HONOR MagicPad 4: Tablet direka untuk kreativiti berprestasi tinggi dengan sokongan AI penuh.
- HONOR MagicBook Pro 14: Laptop ultra-nipis yang memanfaatkan AI bagi memberikan kuasa pemprosesan dan kecekapan yang lebih baik.
HONOR beriltizam untuk memperlihatkan keupayaan AI bukan sahaja dalam telefon pintar. Malah merentasi seluruh ekosistem peranti merangkumi PC, tablet, peranti boleh pakai, dan kini robotik.
Pelancaran global HONOR boleh disaksikan secara langsung melalui livestream pada 1 Mac 2026, jam 8:00 malam di laman web rasmi, akaun Facebook dan saluran YouTube HONOR. Selepas pelancaran, HONOR dijadualkan akan mempamerkan semua peranti terbaru di Fira de Barcelona Gran Via dari 2 hingga 5 Mac 2026 bersempena MWC Barcelona.
