Kuala Lumpur – Syarikat pembiayaan tunai, Planworth Global Factoring menyasarkan untuk menyalurkan pembiayaan sehingga RM1 bilion sepanjang tahun ini sebagai usaha memperkukuh kedudukan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
Sasaran ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun lalu yang mencatatkan sekitar RM700 juta, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memastikan aliran tunai dalam ekosistem perniagaan kekal aktif dan kompetitif.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Andy Kuek menjelaskan bahawa Planworth berfungsi sebagai ‘jambatan’ bagi membantu usahawan yang mempunyai kontrak perniagaan tetapi menghadapi kekangan modal pusingan.
Menurut beliau, peningkatan jumlah pembiayaan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat yang menerima bantuan, malah turut menyumbang kepada pergerakan ekonomi yang lebih sihat.
“Apabila lebih ramai usahawan mendapat pembiayaan, lebih banyak wang akan beredar dalam ekonomi dan memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat,” jelasnya.
Tahun ini, syarikat menyasarkan untuk membantu lebih 1,000 perniagaan, khususnya dalam kalangan PKS yang memerlukan sokongan kewangan untuk memulakan atau melaksanakan projek kontrak mereka.
Pelengkap Kepada Institusi Kewangan Sedia Ada
Planworth menegaskan bahawa peranannya bukan untuk bersaing dengan institusi kewangan sedia ada, sebaliknya bertindak sebagai pelengkap kepada agensi seperti MARA, Tekun Nasional dan SME Bank.
Fokus utama syarikat adalah kepada pembiayaan berasaskan kontrak, terutamanya yang melibatkan syarikat kukuh, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Pendekatan ini membolehkan proses pembiayaan dilaksanakan dengan lebih pantas dan fleksibel berbanding kaedah konvensional.

Pembiayaan yang disediakan tidak terhad kepada sektor tertentu, malah merangkumi pelbagai bidang termasuk pembekalan, perkhidmatan, teknologi maklumat dan makanan.
Setakat ini, sektor pengurusan fasiliti muncul sebagai penerima pembiayaan terbesar dengan nilai kontrak sekitar RM330 juta, di mana Planworth telah menyediakan modal kerja melebihi RM20 juta bagi memastikan kelancaran operasi syarikat terlibat.
Mengulas mengenai situasi ekonomi semasa, Andy mengakui bahawa ketidaktentuan global seperti konflik antarabangsa dan kenaikan harga minyak dunia memberi kesan langsung kepada kos operasi perniagaan.
Kenaikan kos bahan mentah dan logistik dijangka mengurangkan kuasa beli pengguna serta memberi tekanan kepada usahawan. Justeru, Planworth mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan menilai setiap kontrak secara teliti sebelum meluluskan pembiayaan. Langkah ini penting bagi memastikan perniagaan yang dibiayai mampu menjana keuntungan dan mengelakkan kegagalan projek yang boleh menjejaskan reputasi syarikat.
Dalam masa sama, syarikat turut menyatakan komitmen untuk membawa masuk pelaburan dari luar negara bagi disalurkan semula ke dalam ekonomi tempatan, khususnya bagi menyokong usahawan Bumiputera.
Inisiatif ini dilihat mampu memperkukuh daya tahan PKS serta membantu mereka berkembang dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.
Sementara itu, Planworth telah mengadakan acara sambutan Aidilfitri di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur baru-baru ini. Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr Ahmad Maslan serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Mohamad Alamin.
