IMG-20260421-WA0012

Kuala Lumpur – Angkatan Karyawan Nasionalis (AKAR) menyuarakan kebimbangan serius terhadap keberkesanan Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dalam menangani krisis tenaga semasa.


AKAR berpandangan bahawa PPPK bukan sahaja gagal memainkan peranan secara efektif, malah dilihat mengambil pendekatan pasif yang boleh menghambat usaha Perdana Menteri dalam mendepani krisis tenaga global yang semakin meruncing.


Dalam suasana dunia berdepan ketidaktentuan bekalan tenaga, tekanan inflasi serta gangguan rantaian bekalan, negara memerlukan tindakan fiskal yang pantas, terselaras dan berpaksikan realiti semasa. Namun begitu, PPPK dilihat tidak menunjukkan kesegeraan mahupun keberanian untuk mengemukakan pakej rangsangan fiskal yang benar-benar menyokong rakyat serta sektor perniagaan.


Lebih membimbangkan, kelembapan dan sikap tidak proaktif ini menimbulkan persepsi seolah-olah wujud “boikot senyap” terhadap usaha Perdana Menteri yang sejak awal telah menggerakkan pendekatan menyeluruh, termasuk libat urus bersama pemain industri, pimpinan negeri dan rakan serantau.


Ketika kepimpinan negara bergerak pantas dalam mod krisis, PPPK sebaliknya masih terperangkap dalam pendekatan birokratik yang tidak selari dengan keperluan mendesak di lapangan. Kelewatan ini bukan sahaja menjejaskan keberkesanan dasar, malah berpotensi menghakis keyakinan rakyat dan pelabur terhadap keupayaan kerajaan untuk bertindak secara tegas dan bersepadu.


Sehubungan itu, AKAR menegaskan bahawa dalam situasi genting seperti ini, tiada ruang untuk pendekatan “business as usual”. PPPK seharusnya berperanan sebagai pemacu utama penyelarasan dasar dan rangsangan fiskal, bukannya menjadi penghalang kepada momentum yang telah digerakkan di peringkat kepimpinan tertinggi.


Justeru, AKAR menggesa agar satu penilaian menyeluruh dilaksanakan terhadap peranan dan keberkesanan PPPK, termasuk mempertimbangkan penstrukturan semula sekiranya kelemahan yang dikenal pasti gagal ditangani dengan segera.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading