PUTRAJAYA – Sejumlah RM100 tambahan bantuan tunai interim di bawah insiatif BUDI Diesel mula disalurkan hari ini kepada penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan bantuan meningkat kepada RM400 bagi setiap penerima.
Kementerian Kewangan dalam satu hantaran di Facebook rasminya hari ini memaklumkan penyaluran itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat yang layak.
“RM100 tambahan interim mula disalurkan hari ini, 21 April 2026 kepada penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi,” menurut hantaran itu yang turut dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Facebooknya.
Menurut kementerian itu, langkah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu rakyat menghadapi kesan kenaikan kos diesel dan kos sara hidup semasa.
