SHAH ALAM – Dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar dan pantas berubah, perkongsian ilmu berasaskan pengalaman praktikal kini menjadi antara keperluan utama usahawan untuk kekal relevan dan berkembang.
Sehubungan itu, EcoWorld menganjurkan EcoWorld Connect: Leadership Exchange Masterclass di Eco Ardence, Setia Alam yang menghimpunkan usahawan dan pemimpin industri untuk berkongsi pandangan, membina jaringan strategik serta meneroka peluang baharu dalam dunia perniagaan.
Menurut Pengurus Besar Eco Ardence, Tiong Siow Yon, program sehari itu mencerminkan aspirasi EcoWorld untuk membina ekosistem yang menghubungkan komuniti, idea dan peluang perniagaan dalam satu persekitaran lebih progresif.

Beliau berkata, pembangunan seperti Maya Corporate Office Suite di Eco Ardence direka untuk menyokong pertumbuhan perniagaan melalui komuniti yang lebih kolaboratif dan berorientasikan masa hadapan.
Antara tumpuan utama program ialah peranan kecerdasan buatan (AI) dalam membantu syarikat berkembang secara lebih pantas dan efisien.
Acara tersebut telah menjemput beberapa penceramah antaranya, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Aimazin AI Digital Human Technology, Shin Kong berkata, ramai usahawan masih bergelut untuk menskalakan perniagaan kerana pertumbuhan sering terikat dengan masa dan kapasiti individu pengasas.
Menurutnya, integrasi AI, termasuk penggunaan AI Avatar dan sistem automasi, mampu menggandakan keupayaan pasukan, memperluas komunikasi serta membina operasi lebih berskala.
“AI hari ini umpama kuasa tambahan kepada manusia. Seorang individu boleh mempunyai pelbagai versi avatar digital untuk mengendalikan tugasan berbeza dan ini mengubah cara kita bekerja,” katanya.
Beliau turut memperkenalkan Seedance 2.0, enjin penjanaan video bertaraf antarabangsa yang membolehkan kandungan video dihasilkan melalui arahan prompt pada kos jauh lebih rendah berbanding produksi konvensional.
Katanya, teknologi itu tidak menggantikan manusia, sebaliknya mengubah cara kerja menjadi lebih produktif.
“Yang berisiko diganti bukan manusia oleh AI tetapi manusia yang enggan belajar AI,” katanya sambil menyifatkan penguasaan teknologi itu sebagai “superpower” baharu untuk dunia perniagaan.
Sementara itu, Pengurus Jualan dan Pemasaran EcoWorld, Betty Khoo berkata, acara tersebut turut menjadi platform memperkenalkan Maya Corporate Office sebagai pemangkin ekosistem perniagaan baharu di kawasan itu.
Menurut beliau, pembangunan itu dijangka menarik komuniti perniagaan yang sehaluan sekali gus membuka lebih banyak peluang kolaborasi korporat.

EcoWorld juga terus memperkukuh penawaran hartanah moden menerusi projek seperti Maya Corporate Office, Terra Serviced Apartment dan Luna 3K Serviced Apartment.
Selain AI dan inovasi, sesi perkongsian turut menyentuh kepentingan penjenamaan, disiplin kewangan dan transformasi perniagaan.
Pengasas Cake Tella & Keto Cake, Eddie Tan menegaskan, penjenamaan strategik dan kepercayaan pelanggan merupakan asas pertumbuhan jangka panjang, manakala pencipta kandungan kewangan Bob Ngoh menekankan disiplin sebagai tunjang kestabilan kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutif S W Aroma & Foo Kwai Heong, Vanessa Chong pula berkongsi bahawa transformasi perlu berlaku secara seimbang dengan pemodenan sistem berjalan seiring pemeliharaan identiti perniagaan.
Keseluruhannya, EcoWorld Connect menonjolkan bagaimana kelestarian perniagaan hari ini bergantung kepada gabungan teknologi, strategi, disiplin dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran.
Melalui inisiatif ini, EcoWorld memperkukuh peranannya melangkaui sekadar pemaju hartanah juga bertindak sebagai pemangkin ekosistem yang menyatukan inovasi, jaringan dan peluang pertumbuhan jangka panjang.
