PUTRAJAYA – Syarikat teknologi global, TCL terus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran Malaysia menerusi pelancaran teknologi paparan terbaharu, SQD-Mini LED, bersama portfolio lengkap produk rumah pintar.
Pelancaran tersebut berlangsung di IOI Grand Exhibition & Convention Centre, Putrajaya hari ini, sebagai sebahagian daripada strategi TCL untuk menembusi segmen pertengahan hingga premium serta memperluaskan pengaruhnya di pasaran antarabangsa.
Sebagai antara pengeluar televisyen (TV) terkemuka dunia, TCL terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan apabila penghantaran TV globalnya melebihi 30 juta unit pada tahun 2025. Malah, syarikat itu kini menguasai kira-kira 50 peratus pasaran Mini LED global.
Pengarah Urusan TCL Malaysia menyatakan bahawa Malaysia merupakan pasaran strategik bagi pembangunan ekosistem Smart IoT syarikat itu.
“Dengan teknologi SQD-Mini LED, kami bukan sekadar memperkenalkan produk baharu, malah menetapkan penanda aras baharu dalam teknologi paparan bagi segmen premium,” katanya.

Fokus kepada teknologi paparan termaju
TCL terus komited dalam pembangunan teknologi paparan berprestasi tinggi termasuk integrasi kecerdasan buatan (AI). Menerusi anak syarikatnya, TCL CSOT, syarikat itu telah melabur hampir RM170 bilion dalam pembangunan rantaian industri paparan bertaraf dunia.
Usaha ini turut merangkumi pembangunan teknologi baharu seperti OLED cetakan inkjet, Micro-LED dan Mini-LED yang semakin mendapat permintaan tinggi di peringkat global.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, teknologi Mini LED menunjukkan pertumbuhan pesat dan kini menjadi pilihan utama bagi TV flagship di seluruh dunia kerana prestasinya yang mengatasi beberapa kekangan teknologi lain.
Tiga generasi Mini LED diperkenalkan
Dalam pelancaran tersebut, TCL turut mengumumkan tiga generasi produk Mini LED untuk pasaran Malaysia.
Model utama, X11L, menampilkan teknologi SQD-Mini LED dengan tahap kecerahan puncak sehingga 10,000 nits serta lebih 20,000 zon peredupan, menjadikannya sasaran bagi segmen ultra-premium.
Selain itu, siri C8L dan C7L pula diperkenalkan bagi segmen premium yang lebih luas dengan tahap kecerahan sehingga 6,000 nits. Kesemua model ini turut dilengkapi sistem audio yang ditala oleh Bang & Olufsen bagi memberikan pengalaman tontonan lebih imersif.

Menurut TCL, teknologi SQD-Mini LED menawarkan kelebihan dari segi kecerahan, jangka hayat lebih panjang serta kos pemilikan yang lebih rendah berbanding OLED, selain mengurangkan risiko kerosakan paparan seperti ‘burn-in’.
Selain televisyen, TCL turut memperkenalkan siri penyaman udara VoxIN yang dilengkapi teknologi pintar T-AI, mampu menjimatkan penggunaan tenaga sehingga 37 peratus berbanding model konvensional.
Langkah ini selari dengan usaha syarikat untuk menawarkan produk berteknologi tinggi yang lebih cekap tenaga serta mesra pengguna.
Dalam masa sama, TCL turut memanfaatkan kerjasama globalnya sebagai rakan rasmi Sukan Olimpik Musim Panas Los Angeles 2028 bagi memperkukuh jenama di peringkat antarabangsa.
Kerjasama ini dijangka membawa pengalaman tontonan lebih imersif kepada pengguna melalui teknologi paparan terkini, sekali gus memperkukuh kedudukan TCL dalam industri elektronik global.
