Tiada PRK Parlimen Pandan dan Setiawangsa – SPR

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengesahkan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan bagi kerusi Parlimen P.100 Pandan dan P.118 Setiawangsa selepas menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat berhubung kekosongan luar jangka kedua-dua kerusi tersebut.

Menurut kenyataan media SPR hari ini, pihaknya menerima surat bertarikh 20 Mei 2026 daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul yang memaklumkan status kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi berkenaan selepas diisytiharkan kosong di bawah Perkara 51 Perlembagaan Persekutuan.

SPR berkata, berdasarkan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat turut memaklumkan bahawa tiada keperluan untuk mengisi kekosongan luar jangka tersebut.

“Selaras dengan itu, tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.100 Pandan dan P.118 Setiawangsa akan dijalankan,” menurut kenyataan itu.

Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat lazimnya perlu diisi dalam tempoh 60 hari.

Bagaimanapun, peruntukan sama turut menyatakan bahawa jika kekosongan berlaku dalam tempoh dua tahun sebelum Parlimen terbubar secara automatik, maka kekosongan itu tidak perlu diisi kecuali Yang di-Pertua Dewan Rakyat memaklumkan secara bertulis kepada SPR bahawa majoriti parti yang membentuk kerajaan terjejas akibat kekosongan tersebut.

Kerusi Parlimen Pandan sebelum ini disandang oleh Rafizi Ramli, manakala Setiawangsa diwakili Nik Nazmi Nik Ahmad sebelum kedua-duanya mengosongkan kerusi masing-masing.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading