IMG_20260520_141345_1

SUBANG – Berjaya Air menyasarkan untuk mengoperasikan dua pesawat ATR 72-600 Highline menjelang akhir tahun ini, dengan peruntukan pelaburan modal sekitar RM70 juta setahun bagi memperkukuh segmen penerbangan premium serantau.


Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Berjaya Aviation Group, Datuk Chester Voo memaklumkan bahawa ketika ini syarikat sudah mempunyai sebuah pesawat yang sedang beroperasi, manakala pesawat kedua dijangka diterima sekitar bulan Oktober.


Menurut beliau, penggunaan pesawat itu akan lebih tertumpu kepada tempoh permintaan tinggi seperti musim perayaan termasuk Aidilfitri dan Aidiladha, selain membantu operasi penerbangan khas tidak berjadual ke beberapa destinasi domestik.


“Kami boleh menyediakan penerbangan sewa khas ke destinasi seperti Kota Bharu, Alor Setar dan beberapa lokasi lain di Semenanjung mengikut keperluan pelanggan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran pesawat ATR 72-600 Highline di Subang.


Beliau turut menjelaskan bahawa sebuah pesawat mampu melakukan kira-kira empat hingga enam penerbangan sehari, dan kapasiti itu dijangka meningkat sehingga sekitar 10 penerbangan sehari apabila pesawat kedua mula beroperasi sepenuhnya.


Dalam pada itu, Berjaya Air kekal positif terhadap prospek industri walaupun berdepan tekanan kenaikan kos bahan api akibat ketidaktentuan geopolitik global, memandangkan fokus operasinya adalah kepada penerbangan premium berkonsepkan eksklusif.


Katanya, syarikat tidak menyasarkan persaingan secara langsung dengan syarikat penerbangan komersial yang mengendalikan laluan berfrekuensi tinggi, sebaliknya memberi tumpuan kepada segmen penumpang kecil yang mahukan pengalaman perjalanan lebih selesa dan fleksibel.


Pesawat ATR 72-600 Highline tersebut menawarkan konfigurasi kelas perniagaan sepenuhnya dengan 26 tempat duduk, sekali gus memperkenalkan pendekatan baharu dalam penerbangan serantau berkelas premium.


Syarikat itu turut merancang memperluaskan rangkaian ke rantau Asia Tenggara dengan pembukaan tujuh laluan melibatkan destinasi sedia ada dan baharu termasuk Koh Samui, Phu Quoc, Medan, Pekanbaru dan Batam.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading