KUALA LUMPUR, 21 Mei — TV AlHijrah menerima pengiktirafan berprestij Malaysia Best Employer Brand Awards 2026 sempena majlis 21st Employer Branding Awards yang berlangsung di Pullman Kuala Lumpur City Centre hari ini.
Pengiktirafan tersebut diberikan sebagai penghargaan terhadap komitmen TV AlHijrah dalam memperkukuh pembangunan modal insan, kesejahteraan warga kerja serta pembudayaan persekitaran kerja yang progresif, inklusif dan berteraskan nilai.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Dr. R. L. Bhatia yang juga merupakan Pengarah World HRD Congress & Employer Branding Awards.

Majlis berprestij itu dianjurkan oleh Employer Branding Institute dengan kerjasama beberapa organisasi antarabangsa termasuk World HRD Congress serta World Federation of HR Professionals.
Turut menerima pengiktirafan pada majlis berkenaan ialah beberapa organisasi dan institusi daripada pelbagai sektor termasuk Pullman Kuala Lumpur City Centre, Alibaba Cloud Malaysia, DHL Malaysia, Dell Technologies Malaysia dan Co-opbank Pertama, sekali gus mencerminkan komitmen pelbagai industri terhadap pembangunan modal insan dan budaya kerja progresif.
Pengerusi TV AlHijrah, Mohd Khair Ngadiron yang hadir bersama Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan usaha berterusan organisasi dalam membina budaya kerja yang positif dan mampan.
“TV AlHijrah percaya bahawa warga kerja merupakan aset terpenting organisasi. Dedikasi, komitmen dan nilai yang dibawa oleh seluruh warga kerja menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan dan transformasi organisasi kami,” katanya ketika menerima anugerah tersebut.
Menurut beliau, sebagai sebuah organisasi media yang berteraskan nilai Islam, TV AlHijrah akan terus komited dalam memperkukuh budaya kerja yang progresif, inovatif dan inklusif selari dengan aspirasi Malaysia MADANI serta perkembangan landskap industri media dan digital masa kini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja TV AlHijrah atas sumbangan dan komitmen yang diberikan sehingga organisasi itu menerima pengiktirafan berkenaan.
Anugerah Malaysia Best Employer Brand Awards 2026 mengiktiraf organisasi yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai aspek pengurusan sumber manusia termasuk pembangunan bakat, strategi pengambilan pekerja, kesejahteraan pekerja, pembangunan kepimpinan, budaya kerja serta inisiatif tanggungjawab sosial korporat.
Pengiktirafan tersebut dilihat sebagai satu pencapaian signifikan buat TV AlHijrah dalam memperkukuh reputasinya sebagai organisasi media yang memberi penekanan terhadap pembangunan insan dan kesejahteraan tenaga kerja.
