IMG_20260626_145457_148

KUALA LUMPUR – Selepas hampir lima dekad mewarnai industri muzik tanah air, penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah tampil dengan sebuah projek istimewa menerusi DJA Show sebagai simbol penghargaan terhadap perjalanan seninya yang kini menjangkau 50 tahun.

Pada usia 67 tahun, Jamal berkata program berkenaan bukan sekadar sebuah persembahan hiburan, malah menjadi usaha untuk mendokumentasikan karya-karya terbaiknya agar terus menjadi rujukan dan warisan kepada generasi akan datang.

Menurut beliau, rakaman secara langsung itu dilakukan dengan niat untuk meninggalkan legasi seni yang dapat terus dinikmati walaupun beliau sudah tiada suatu hari nanti.

“Saya mahu generasi muda mempunyai bahan rujukan yang sahih untuk melihat kembali khazanah seni yang saya tinggalkan sepanjang zaman,” katanya.

Jelas penyanyi yang terkenal dengan pelbagai lagu malar segar itu, idea menghasilkan DJA Show turut tercetus daripada inspirasi program televisyen ikonik milik tokoh seni terdahulu seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarhamah Puan Sri Saloma dan Allahyarham Datuk Ahmad Daud yang pernah mempunyai rancangan tersendiri di RTM.

Beliau menganggap kewujudan program sedemikian bukan sahaja mengangkat nilai seni tempatan, malah menjadi penghargaan kepada peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan kariernya sejak awal pembabitan dalam dunia hiburan.

Menerusi DJA Show, Jamal bakal merakamkan semula lagu-lagu pilihan daripada 13 album studio yang pernah dihasilkannya sepanjang bergelar anak seni.

Menariknya, semua lagu tersebut akan dipersembahkan secara langsung, sekali gus memberi nafas baharu kepada karya-karya yang pernah menjadi siulan ramai.

Menurut Jamal, pengalaman menyanyikan semula lagu-lagu tersebut pada usia sekarang memberikan satu cabaran berbeza kerana kebanyakannya dirakam ketika beliau masih berusia sekitar 21 hingga 22 tahun.

Bagaimanapun, beliau menegaskan usia btheukan penghalang untuk terus berkarya kerana semangatnya menghiburkan peminat masih utuh seperti dahulu.

“Saya masih mempunyai keinginan yang membara untuk terus mencurahkan bakti kepada peminat dan masyarakat melalui muzik,” katanya.

DJA Show dilihat bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-50 perjalanan seni Jamal Abdillah, malah menjadi sebuah projek dokumentasi yang menghimpunkan khazanah muzik penyanyi legenda itu agar terus hidup dan dikenang oleh generasi akan datang.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading