Kuala Lumpur – De.Wan 1958 by Chef Wan hari ini melancarkan “Soul of Malaysia Siri 2: Forgotten Flavours, Rediscovered”, sebuah inisiatif kulinari berterusan yang didedikasikan untuk memelihara kekayaan warisan makanan negara dengan menghidangkan semula resipi tradisional, cita rasa serantau dan kisah budaya kepada generasi baharu rakyat tempatan serta pelancong antarabangsa.
Majlis pelancaran yang diadakan bersempena Pembukaan Rasmi De.Wan 1958 by Chef Wan di The Exchange TRX turut menandakan kerjasama jenama ini dalam menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), sekali gus memperkukuh komitmen bersama untuk mempromosikan warisan budaya dan gastronomi Malaysia di persada dunia.


Diilhamkan daripada semangat dan minat sepanjang hayat Chef Wan terhadap masakan Malaysia, inisiatif Soul of Malaysia diwujudkan bagi meraikan resipi-resipi tradisi yang semakin sukar ditemui dalam landskap kulinari moden. Lebih daripada sekadar menyajikan makanan, program ini bertujuan memelihara tradisi, bahan-bahan serta teknik masakan yang diwarisi turun-temurun dan terus membentuk identiti kulinari negara yang pelbagai.
Siri kedua ini menampilkan empat hidangan warisan yang diinspirasikan daripada komuniti serta tradisi kulinari dari seluruh negara:
- Ayam Masak Bali (Selangor) – Diilhamkan daripada komuniti Bugis yang penghijrahan dan laluan perdagangan mereka telah menyumbang secara signifikan kepada landskap kulinari Selangor.
- Ikan Bakar Daun Mengkudu (Pahang) – Mengangkat tradisi membakar masyarakat Pantai Timur dengan mengetengahkan penggunaan daun mengkudu yang semakin jarang digunakan dalam masakan masa kini.
- Lamb Devil Curry (Kari Debal Asli) (Melaka) – Meraikan keunikan warisan kulinari komuniti Portugis-Eurasia di Melaka.
- Ikan Keli Salai Masak Lemak Cili Padi (Negeri Sembilan) – Menampilkan warisan Minangkabau di Negeri Sembilan serta seni tradisional menyalai menggunakan kayu api.
Keempat-empat hidangan ini dipilih bukan sahaja kerana asal-usulnya yang unik mengikut negeri, malah kerana kisah budaya, kaedah memasak tradisional dan bahan-bahan warisan yang dibawanya, yang kini semakin jarang ditemui dalam sajian kontemporari.





Berucap pada majlis pelancaran tersebut, Chef Wan berkata, “Warisan kulinari Malaysia merupakan antara khazanah paling berharga negara kita. Soul of Malaysia bukan sekadar menu bermusim, tetapi satu perjalanan berterusan untuk menghidupkan semula, memelihara dan meraikan resipi-resipi yang mencerminkan identiti kita sebagai rakyat Malaysia. Setiap hidangan membawa kisah masyarakat, tradisi dan warisan budaya kita, dan kami berharap dapat berkongsi kisah-kisah ini dengan rakyat tempatan serta pengunjung dari seluruh dunia.”
Melalui inisiatif ini, De.Wan 1958 berhasrat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara destinasi gastronomi terunggul di Asia dengan mengetengahkan resipi asli dari pelbagai negeri, bahan-bahan warisan serta pengaruh budaya yang menjadikan masakan Malaysia begitu unik.
Sebagai sebahagian daripada sokongannya terhadap kempen VM2026, De.Wan 1958 akan terus memperjuangkan pelancongan kulinari menerusi pelbagai inisiatif bernilai tinggi yang menonjolkan kekayaan budaya makanan negara serta menggalakkan penghargaan yang lebih mendalam terhadap sejarah kulinari Malaysia yang pelbagai.





Soul of Malaysia Siri 2 akan ditawarkan bermula 1 Julai hingga 31 Ogos 2026 di semua cawangan De.Wan 1958 by Chef Wan, iaitu:
- De.Wan 1958 @ The Exchange TRX
- De.Wan 1958 @ The Linc KL
- De.Wan 1958 @ Bangsar Shopping Centre
Perjalanan kulinari ini akan diteruskan menerusi Soul of Malaysia Siri 3 dari September hingga Oktober 2026, yang bakal memperkenalkan satu lagi koleksi resipi warisan berinspirasikan kepelbagaian komuniti serta tradisi serantau di seluruh negara.


Pembukaan rasmi De.Wan 1958 di The Exchange TRX turut mengukuhkan lagi kehadiran jenama tersebut di salah sebuah destinasi gaya hidup utama di Kuala Lumpur, sekali gus menyediakan platform terbaik untuk memperkenalkan kekayaan masakan Malaysia kepada masyarakat tempatan dan pelawat antarabangsa.
