Pemegang lesen eksklusif formulasi baja milik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Briar Resources Sdn Bhd (Briar Resources), memberi jaminan bekalan baja kepada lebih 200,000 pekebun kecil di seluruh negara akan terus disalurkan tanpa gangguan menerusi kerjasama dengan pengilang baharu.
Jaminan itu diberikan walaupun syarikat berkenaan kini berdepan pertikaian kontrak pembekalan sehingga membawa kepada tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.
Peguam Tetuan Foo Hiap Siong & Co, William Foo, berkata saman difailkan selepas syarikat yang memegang kontrak pembekalan sejak 2022 didakwa gagal meneruskan penghantaran baja kepada Briar Resources seperti yang dipersetujui.Menurut beliau, gangguan bekalan didakwa bermula sejak Mac lalu apabila konflik peperangan memberi kesan kepada rantaian bekalan global, sekali gus menyukarkan usaha mendapatkan baja di pasaran. Keadaan itu dikhuatiri boleh menjejaskan produktiviti tanaman serta pendapatan pekebun kecil yang bergantung kepada bekalan berkenaan.
Katanya, walaupun situasi konflik kini semakin reda, syarikat pembekal terbabit didakwa masih memberikan pelbagai alasan untuk tidak meneruskan penghantaran baja.
William menegaskan Program Baja MADANI diwujudkan bagi membantu mengurangkan kos input pertanian yang ditanggung pekebun kecil dan bukannya untuk memenuhi kepentingan mana-mana syarikat.
Beliau berkata, kegagalan memastikan bekalan baja mencukupi boleh memberi kesan langsung kepada hasil tanaman, sedangkan pekebun kecil masih perlu menanggung kos sara hidup serta kos pengeluaran yang semakin meningkat.
Briar Resources merupakan pemegang lesen eksklusif bagi formulasi baja MPOB yang dikenali sebagai MPOB F5 Improved, dipasarkan sebagai “Improved 5” di bawah jenama Madani, serta MPOB F5 Premium atau “Premium 5”. Formulasi, pengetahuan teknikal sulit dan tanda dagangan produk tersebut kekal menjadi hak milik MPOB sebelum dilesenkan secara eksklusif kepada Briar Resources.

Dalam perkembangan sama, William turut mendakwa syarikat pengilang terbabit menghasilkan produk menggunakan pembungkusan berbeza tetapi menyerupai baja asal sebelum menjualnya pada harga yang lebih rendah.
Menurutnya, tindakan sedemikian merupakan perbuatan meniru produk sedia ada serta melibatkan penggunaan harta intelek tanpa kebenaran. Beliau mendakwa syarikat berkenaan telah diberi kepercayaan untuk menghasilkan produk berasaskan formulasi tertentu, namun bertindak melanggar syarat pengeluaran yang telah ditetapkan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Briar Resources, Wayne Lai, berkata syarikatnya sebelum ini membekalkan antara 1,300 hingga 2,000 tan baja setiap bulan bagi memenuhi keperluan Program Baja MADANI.
Beliau berkata, gangguan pembekalan yang berlaku menyebabkan jadual pelaksanaan dan pelan strategik program yang disusun sejak Jun 2024 tidak dapat dilaksanakan seperti dirancang.
Menurut Wayne, keadaan itu bukan sahaja mengakibatkan kerugian kepada syarikat, malah turut menjejaskan reputasi Briar Resources serta menyebabkan kehilangan peluang perniagaan.
Pada masa sama, Pengerusi Eksekutif Briar Resources, Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, menegaskan fokus utama syarikat ketika ini adalah memastikan pertikaian yang berlaku tidak memberi kesan kepada lebih 200,000 pekebun kecil yang bergantung kepada bekalan baja tersebut.
Beliau berkata, pelbagai usaha sedang dipergiatkan bagi memastikan bekalan dapat diteruskan menerusi kerjasama dengan pengilang baharu supaya pekebun terus menerima baja menggunakan formulasi yang sama.
Menurutnya, tindakan saman yang difailkan adalah jalan terakhir selepas beberapa usaha rundingan sebelum ini gagal mencapai penyelesaian.
“Kita tidak mahu pekebun menjadi mangsa kepada pertikaian ini. Keutamaan kami ialah memastikan mereka terus menerima baja dengan formulasi yang sama tanpa sebarang gangguan,” katanya.
