Kuala Lumpur – Blog rasmi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, chedet.com, dilancarkan semula sempena ulang tahun kelahiran beliau yang ke-101 hari ini, sekali gus membolehkan orang ramai mengikuti perkembangan terkini serta membaca pandangan beliau mengenai pelbagai isu semasa.
Pelancaran semula itu dimaklumkan oleh pembantu Dr Mahathir, Sufi Yusoff, menerusi saluran rasmi Dr M Media Updates di WhatsApp. Beliau turut mengajak orang ramai melayari blog berkenaan dan meninggalkan ucapan sempena ulang tahun kelahiran negarawan itu.
“Kami telah melancarkan semula chedet.com. Jika anda berkesempatan, sila kunjungi laman blog itu,” katanya.
Chedet.com sebelum ini menjadi medium utama Dr Mahathir berkongsi pandangan mengenai politik, ekonomi, dasar kerajaan serta pelbagai isu berkaitan negara dan antarabangsa.
Dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah, Dr Mahathir merupakan Perdana Menteri Malaysia keempat dan ketujuh. Beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri buat kali pertama pada 16 Julai 1981 dan mencatat sejarah sebagai pemimpin kerajaan paling lama berkhidmat dengan tempoh pentadbiran selama 22 tahun.
Walaupun tidak lagi berada dalam politik arus perdana, Dr Mahathir terus aktif menyuarakan pandangan menerusi penulisan, ucapan dan pelbagai program wacana awam.
Sementara itu, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, dijadual menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 pada 12 Julai.
