SHAH ALAM – Pengalaman membeli-belah di Giant kini melangkah ke satu dimensi baharu apabila GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd. memperkenalkan MY CHEMIST Hub, sebuah konsep farmasi dan kecantikan bersepadu yang pertama di negara ini.
Bertempat di Giant Stadium Shah Alam, MY CHEMIST Hub diwujudkan sebagai pusat sehenti yang menggabungkan perkhidmatan farmasi profesional, produk kesihatan, penjagaan diri serta kecantikan dalam satu ruang yang lebih lengkap dan mudah diakses pelanggan.

Inisiatif ini mencerminkan strategi GCH Retail untuk mengembangkan perniagaannya daripada sekadar rangkaian pasar raya kepada penyedia penyelesaian kesihatan dan kesejahteraan yang lebih menyeluruh, selaras dengan perubahan gaya hidup pengguna masa kini.
Di MY CHEMIST Hub, pelanggan bukan sahaja boleh mendapatkan ubat preskripsi dan ubat tanpa preskripsi, malah pelbagai vitamin, makanan tambahan, produk penjagaan warga emas, alat bantuan mobiliti serta rangkaian produk kecantikan yang dipilih khas.
Lebih menarik, pelanggan turut boleh menikmati pemeriksaan kesihatan asas secara percuma, khidmat rundingan bersama ahli farmasi bertauliah serta perkhidmatan pembungkusan ubat tanpa caj bagi memudahkan pengurusan pengambilan ubat harian.

Menurut Pengarah Komersial GCH Retail (Malaysia), Sheryn Soo, MY CHEMIST Hub bukan sekadar sebuah farmasi, sebaliknya direka sebagai hab kesihatan dan kecantikan yang menawarkan pengalaman membeli-belah lebih menyeluruh melalui gabungan perkhidmatan fizikal dan digital.
Sempena pembukaan rasmi, pelanggan boleh menikmati pelbagai promosi menarik bermula 28 Julai hingga 2 September 2026. Antaranya peluang memenangi tiket konsert The Weeknd dengan pembelian minimum RM100, aktiviti Spin & Win bagi pembelian RM50 ke atas serta tawaran barangan terpilih pada harga serendah RM1.



Ketika ini, GCH Retail mengendalikan lebih 90 cawangan di seluruh Malaysia menerusi jenama Giant, Cold Storage, Mercato, TMC dan kini MY CHEMIST Hub, sekali gus memperkukuh kedudukannya dalam segmen peruncitan moden yang menggabungkan keperluan harian dengan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan pelanggan.


