IMG-20260727-WA0030

KUALA LUMPUR – Arena e-sukan kini semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda, bukan sekadar sebagai medium hiburan, malah platform untuk mengembangkan bakat, membina semangat berpasukan serta meningkatkan keyakinan diri.

Seiring dengan perkembangan itu, Kao Malaysia menerusi jenama Men’s Biore tampil menganjurkan Men’s Biore University Cup Tournament 2026, yang berjaya menghimpunkan lebih 400 pelajar dari empat institusi pengajian tinggi awam dan swasta, selain penyertaan menerusi pusingan kelayakan dalam talian.

Kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM12,000 itu mempertandingkan dua permainan mudah alih popular, iaitu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan Honor of Kings (HOK), sekali gus menjadi pentas buat pemain universiti mempamerkan kemahiran serta strategi terbaik.

Naib Presiden Pemasaran Kao Malaysia, Tan Poh Ling berkata, e-sukan kini telah berkembang menjadi sebuah komuniti yang mampu membentuk disiplin, kerjasama berpasukan dan daya tahan mental dalam kalangan anak muda.

Menurut beliau, Men’s Biore tidak hanya mahu dikenali sebagai jenama penjagaan diri lelaki, malah ingin menjadi sebahagian daripada gaya hidup generasi muda dengan menyokong minat serta potensi mereka.

“Kami mahu menyediakan platform yang meraikan bakat anak muda sambil menggalakkan mereka mengamalkan penjagaan diri yang positif serta sentiasa tampil yakin dalam apa juga yang dilakukan,” katanya.

Beliau turut berharap kejohanan itu dapat diperluaskan ke lebih banyak universiti pada masa hadapan menerusi kerjasama erat bersama institusi pengajian tinggi dan komuniti e-sukan di seluruh negara.

Mengangkat tema ‘Kontrol Game Anda’, kempen berkenaan menekankan kepentingan mengimbangi prestasi dalam permainan dengan penjagaan diri serta sikap positif, selaras dengan pendekatan Men’s Biore untuk mendekati generasi Z melalui dunia teknologi dan e-sukan.

Dalam saingan akhir, pasukan Multimedia University (MMU) Malaysia muncul juara bagi kategori Honor of Kings (HOK) selepas mempamerkan aksi konsisten dan strategi cemerlang sepanjang kejohanan. LXM ESPORT menamatkan saingan di tempat kedua, manakala SCT TEAM yang layak menerusi pusingan dalam talian meraih tempat ketiga.

Bagi kategori Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) pula, pasukan PMAS A yang turut mara menerusi pusingan kelayakan dalam talian berjaya muncul juara. BOSS NAILONG dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) menduduki tempat kedua, sementara UM x REIGN melengkapkan senarai tiga pasukan terbaik.

Sebelum beraksi di pentas akhir, semua peserta terlebih dahulu melalui pusingan kelayakan yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Multimedia University (MMU) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Pusingan kelayakan secara dalam talian turut diadakan bagi memberi peluang kepada lebih ramai pemain universiti dari seluruh negara untuk menyertai kejohanan tersebut.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading