IMG_20260804_154234

KUALA LUMPUR – Dunia fesyen tempatan bakal diserikan dengan sebuah acara yang bukan sekadar mempamerkan keindahan busana, malah membawa mesej kasih sayang dan keprihatinan kepada masyarakat.

Jenama Anas Abdullah Kuala Lumpur tampil menganjurkan Couture Wedding Charity Fashion Showcase – Anas Abdullah x RMHC Malaysia yang mengetengahkan tema “Where Couture Meets Compassion”, menggabungkan keanggunan haute couture dengan misi kebajikan.

Dengan sokongan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) sebagai rakan strategik serta Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia), acara ini membuktikan bahawa pentas fesyen juga mampu menjadi platform untuk menyebarkan harapan dan memberi impak positif kepada golongan yang memerlukan.

Selepas lebih 16 tahun mengukuhkan nama dalam industri fesyen pengantin dan busana rasmi, pengasasnya, Dato’ Sri Anas Abdullah, kini membawa dimensi baharu apabila menggunakan kepakarannya untuk menyokong usaha kebajikan melalui dunia fesyen.

Apa yang menjadikan acara ini lebih istimewa ialah penglibatan kanak-kanak di bawah naungan RMHC Malaysia, termasuk mereka yang berdepan penyakit kronik antaranya, kanser, sumbing bibir dan lelangit, Autisme serta Sindrom Down. Kehadiran mereka di pentas peragaan menjadi simbol keberanian, harapan dan kekuatan yang menyentuh hati.

Turut memeriahkan pertunjukan ialah barisan selebriti terkenal seperti Aleeza Kassim, Nor Albaniah dan Marc Sadique yang akan berjalan seiring bersama wira-wira kecil itu sambil memperagakan koleksi eksklusif Anas Abdullah. Suasana acara turut disempurnakan dengan sentuhan dekorasi oleh SASES (Saiful & Syukri Event Stylist).

Lebih daripada sekadar pertunjukan fesyen, acara amal ini bertujuan mengumpul dana bagi menyokong pelbagai program RMHC Malaysia, termasuk pengoperasian Rumah Ronald McDonald di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Selain membantu mengumpul dana, penganjuran ini juga diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap cabaran yang dihadapi kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik, sekali gus menggalakkan lebih banyak syarikat korporat dan individu tampil menghulurkan bantuan.

Sejak penubuhannya pada 1990, RMHC Malaysia telah memberi manfaat kepada ratusan ribu kanak-kanak menerusi pelbagai inisiatif seperti Program Senyuman Sejuta, Bilik Terapi Sensori dan Back to School.

Couture Wedding Charity Fashion Showcase – Anas Abdullah x RMHC Malaysia akan berlangsung pada 26 September 2026 (Sabtu), dari 2 petang hingga 6 petang di Dewan Tun Dr. Ismail, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).

Acara ini dijangka menjadi antara pertunjukan fesyen paling bermakna tahun ini apabila menggabungkan keindahan rekaan tempatan dengan semangat kemanusiaan, membuktikan bahawa setiap helaian busana mampu membawa sinar harapan kepada mereka yang memerlukan.

Orang ramai yang ingin menghadiri acara ini sambil menyokong usaha kebajikan RMHC Malaysia boleh mendapatkan Charity Table yang ditawarkan pada harga bermula RM5,000 bagi setiap meja.

Bagi urusan berkaitan pengecualian cukai (tax exemption), sila hubungi Idayu Mukti (RMHC) di 012-911 8890.


Untuk tempahan Charity Table, orang ramai boleh menghubungi AK (012-677 3713), Noah (019-403 6600), Anita (018-398 0642) atau Ikmal (011-2811 5328).

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading