KUALA LUMPUR: Usahawan wanita tempatan kini mempunyai platform lebih besar untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa menerusi Women in Export (WiEX) @ MIHAS 2026 yang menjadi medan mempertemukan pemain industri tempatan dengan pembeli serta rakan niaga dari luar negara.
Inisiatif berkenaan dilihat mampu membuka lebih banyak peluang kepada syarikat milik dan diterajui wanita untuk memperkenalkan produk tempatan, membina jaringan perniagaan serta meneroka pasaran baharu di peringkat global.
Bagi memperkukuh usaha tersebut, NOIR Health & Beauty Sdn. Bhd. tampil sebagai penaja rasmi WiEX @ MIHAS 2026 dengan sokongan penajaan bernilai RM300,000.

Pengasas NOIR, Eriyca Baiduri Abd Rashid atau lebih dikenali sebagai Madammu berkata, penglibatan dalam inisiatif itu selari dengan aspirasi syarikat untuk memperkasakan wanita selain membuka lebih banyak ruang kepada usahawan tempatan mengembangkan perniagaan ke luar negara.
Menurutnya, NOIR sendiri menyasarkan untuk mencatat hasil eksport melebihi RM600 juta menjelang 2029, dengan pasaran seperti Indonesia dan Singapura antara destinasi yang diberi perhatian.
“NOIR dibina dengan mengangkat martabat wanita dan kerjasama ini menjadi landasan untuk membantu membuka mata lebih ramai usahawan wanita bahawa peluang untuk melangkah ke pasaran antarabangsa amat luas,” katanya.
WiEX @ MIHAS 2026 dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), sekali gus menyediakan ruang strategik untuk usahawan wanita tempatan mendapatkan pendedahan terhadap landskap perdagangan antarabangsa.

Sebanyak 80 ruang pameran disediakan bagi edisi tahun ini, merangkumi 60 penyertaan syarikat tempatan dan 20 penyertaan antarabangsa.
Lebih daripada sekadar pameran, platform itu turut memberi peluang kepada peserta berinteraksi secara terus dengan pembeli antarabangsa menerusi Program Sourcing Antarabangsa (INSP).
Peluang berkenaan membolehkan usahawan wanita tempatan membina hubungan komersial, mengenal pasti potensi pasaran baharu serta memperkenalkan produk mereka kepada rangkaian pembeli global.
Ketua Pegawai Eksekutif ES Exhibition Services Sdn. Bhd., Faizal Razak berkata, penyertaan dalam WiEX mampu memberikan pendedahan penting kepada syarikat tempatan untuk meningkatkan daya saing dan memperkukuh kedudukan mereka dalam pasaran antarabangsa.

WiEX @ MIHAS 2026 dijadual berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dari 23 hingga 26 September ini.
Dengan penyertaan syarikat tempatan dan antarabangsa, platform tersebut dijangka terus menjadi antara pemangkin penting dalam memperluas jaringan eksport usahawan wanita Malaysia, khususnya dalam sektor ekonomi halal.
Pada masa sama, penglibatan syarikat seperti NOIR memperlihatkan bagaimana kerjasama antara pemain industri dan platform perdagangan boleh membantu mewujudkan ekosistem yang lebih kukuh untuk wanita tempatan membawa produk mereka ke pentas dunia.
