20260819_PPD-029

KUALA LUMPUR – Peningkatan kos sara hidup, perubahan corak peminjaman serta kemunculan pelbagai kemudahan kewangan digital menuntut pendekatan lebih menyeluruh bagi memastikan pengguna bukan sahaja mendapat akses kepada pembiayaan, malah mampu mengurus komitmen kewangan secara bertanggungjawab.

Menyedari keperluan itu, Provident Banc Berhad (Provident) memperkukuh usaha membangunkan ekosistem kewangan yang lebih berorientasikan kesejahteraan pengguna menerusi tiga kerjasama strategik bersama pemain industri.

Kerjasama tersebut dimeterai bersempena sesi perbincangan panel yang mengupas isu “Kos Sara Hidup, Hutang Digital dan Tekanan Kewangan: Peranan Pembiayaan Islam dalam Membina Kestabilan Kewangan”, dengan kerjasama Masryef Academy.

Perbincangan berkenaan menekankan bahawa daya tahan kewangan tidak seharusnya bergantung kepada akses kepada dana semata-mata, sebaliknya perlu disokong literasi kewangan yang kukuh serta keupayaan pengguna membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat.

Sesi berkenaan turut menghimpunkan pemimpin industri termasuk Pengarah Eksekutif Provident Banc Berhad, Nor Shahmir Nor Shahid; Bendahari Kehormat Koperasi Kakitangan Bank Rakyat Berhad dan mantan Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Dr. Mustafha Abd Razak; serta Ketua Pegawai Teknologi Co-opbank Pertama, Ts. Zairil Anuar Ahmad.

Turut mengambil bahagian ialah Ketua Pegawai Operasi MicroLEAP, Matthew Fernandez; Ketua Pendidikan Kewangan Isi Rumah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Nirmala Supramaniam; dan Ketua Pegawai Eksekutif MARC Data, Vikraman Kalia Purumal.

Perbincangan yang dikendalikan oleh pendukung literasi kewangan, Peter Yong atau lebih dikenali sebagai Mr. Money TV, turut menyorot perubahan landskap pembiayaan digital yang semakin memudahkan pengguna mendapatkan akses kepada penyelesaian kewangan.

Bagaimanapun, kemudahan tersebut perlu disertai kefahaman terhadap komitmen, kos dan implikasi jangka panjang sebelum sebarang keputusan pembiayaan dibuat.

Seiring usaha itu, Provident memeterai tiga Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MicroLEAP PLT, Holborn Capital Partners Sdn. Bhd. dan Peopleperks International Sdn. Bhd., yang dikenali sebagai HariWang.

Ketiga-tiga kerjasama berkenaan membawa kepakaran berbeza dalam ekosistem kewangan, termasuk pembiayaan alternatif, khidmat nasihat kewangan, pengurusan kekayaan serta kesejahteraan kewangan pekerja.

MicroLEAP merupakan platform pembiayaan rakan setara yang dikawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, manakala Holborn Capital Partners menawarkan perkhidmatan khidmat nasihat kewangan dan pengurusan kekayaan merangkumi perancangan kewangan, nasihat pelaburan serta pengurusan kekayaan.

Sementara itu, HariWang memberi tumpuan kepada kesejahteraan kewangan pekerja menerusi kemudahan Akses Gaji Terperoleh atau Earned Wage Access, yang membolehkan pekerja mengakses gaji yang telah diperoleh bagi memenuhi keperluan kewangan jangka pendek.

Menurut Nor Shahmir, pembiayaan bertanggungjawab bukan sekadar menyediakan akses kepada dana, sebaliknya turut melibatkan usaha memahami keperluan pelanggan, membantu mereka membuat keputusan bermaklumat serta menyediakan penyelesaian yang telus dan mudah diakses.

Beliau berkata pendekatan tersebut perlu disokong kerjasama pelbagai pihak dalam ekosistem kewangan bagi memastikan kesejahteraan kewangan dapat dibina secara lebih menyeluruh.

Melalui tiga kerjasama berkenaan, Provident menyasarkan usaha memperluas literasi kewangan, menggalakkan inovasi dan menyediakan penyelesaian kewangan yang mampu memberi nilai kepada pelanggan serta komuniti.

Langkah itu sekali gus mencerminkan usaha Provident untuk memainkan peranan lebih besar dalam membentuk ekosistem perkhidmatan kewangan Malaysia yang menyeimbangkan aspek akses kepada pembiayaan dengan tanggungjawab, pendidikan dan kesejahteraan kewangan pengguna.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading