MEITU_20260824_133642854

MELAKA – Selepas lebih tiga dekad mewarnai industri muzik tanah air, penyanyi terkenal Ziana Zain menerima satu lagi pengiktirafan apabila kini bergelar Datuk.

Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Pengiktirafan itu diterima beliau dalam Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka yang berlangsung di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Ziana merupakan antara 189 individu yang menerima D.P.S.M. dalam istiadat berkenaan, membabitkan penerima daripada pelbagai latar belakang termasuk sektor awam, politik, korporat dan seni.

Menariknya, pelantun lagu Madah Berhelah itu sebelum ini pernah menegaskan bahawa gelaran Datuk bukan sesuatu yang pernah dikejarnya.

Sebaliknya, Ziana menganggap sekiranya pengiktirafan tersebut menjadi miliknya, ia merupakan rezeki yang hadir pada waktu yang tepat.

Bagi penyanyi yang sudah lebih tiga dekad berkecimpung dalam dunia seni itu, perkara lebih utama adalah terus berkarya, menyanyi dan menghiburkan peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya.

Khabar mengenai kemungkinan beliau menerima gelaran Datuk juga bukan perkara baharu apabila desas-desus tersebut sudah lama diperkatakan.

Namun, Ziana memilih untuk menyerahkan segala-galanya kepada rezeki dan ketentuan Allah SWT.

Kini, pengiktirafan tersebut akhirnya menjadi kenyataan dan melengkapkan satu lagi lembaran penting dalam perjalanan seni Ziana.

Sepanjang kerjayanya, Ziana dikenali menerusi sejumlah lagu popular seperti Puncak Kasih, Anggapanmu dan Putus Terpaksa, selain Madah Berhelah yang terus sinonim dengan namanya.

Kekal relevan merentasi generasi, penganugerahan ini dilihat sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Ziana dalam industri seni tempatan sepanjang lebih 30 tahun berkarya.

Tahniah Datuk Ziana Zain!

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading