MEITU_20260909_170814460

PUTRAJAYA – Semangat perjuangan atlet negara terus menjadi antara simbol perpaduan rakyat Malaysia apabila MILO® bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengetengahkan barisan wira sukan negara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.

Kerjasama itu diterjemahkan menerusi penyertaan kereta berhias khas pada Perarakan Hari Kebangsaan di Putrajaya, yang menampilkan atlet-atlet negara serta pemenang pingat Sukan Komanwel yang bakal membawa cabaran Malaysia menjelang Sukan SEA 2027.

Kereta berhias berkenaan dihiasi elemen Jalur Gemilang, mercu tanda ikonik negara, motif belang yang melambangkan semangat Harimau Malaya serta replika Stadium Nasional Bukit Jalil, sekali gus membawa mesej mengenai kesungguhan Malaysia mempersiapkan diri sebagai tuan rumah Sukan SEA ke-34.

Antara atlet yang menyertai kereta berhias berkenaan ialah atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan dan Muhammad Hafizuddin Roslin, pemain boling padang Aleena Ahmad Nawawi, atlet lompat jauh para Eljoe Gotuoh serta atlet bola keranjang berkerusi roda Freday Tan Yei Bing.

Bagi MILO®, penglibatan dalam sambutan Hari Kebangsaan itu meneruskan legasi sokongannya terhadap pembangunan sukan negara, khususnya dalam membudayakan gaya hidup aktif dan memberi peluang kepada golongan muda mengembangkan potensi dalam bidang sukan.

Pegawai Eksekutif Perniagaan MILO®, Ng Su Yen berkata, sukan mempunyai kekuatan untuk menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira generasi, budaya dan latar belakang.

“Selama berdekad, MILO® telah menyokong pembangunan sukan di Malaysia yang seterusnya membina negara yang lebih aktif dan bersatu-padu. Kami berharap sambutan Merdeka kali ini dapat memberi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyokong atlet-atlet kita di Sukan SEA 2027 di mana Malaysia bakal menjadi tuan rumah,” katanya.

Sementara itu, Aniq Kasdan menyifatkan peluang menyertai perarakan berkenaan sebagai satu pengalaman bermakna, selain menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran rakyat supaya terus memberikan sokongan kepada atlet negara.

Katanya, sokongan padu rakyat Malaysia mampu menjadi sumber motivasi kepada atlet untuk memberikan prestasi terbaik di pentas antarabangsa.

Aleena Ahmad Nawawi pula berkata, sambutan Hari Kebangsaan mengingatkan bahawa kekuatan negara turut terletak pada perpaduan yang dapat dibina menerusi sukan.

Menurutnya, sorakan dan sokongan rakyat Malaysia menjadi antara sumber inspirasi terbesar buat atlet untuk terus berjuang mengharumkan nama negara.

Selain menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan, MILO® turut menyediakan lebih 100,000 cawan minuman percuma sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha mendekati masyarakat serta menggalakkan gaya hidup aktif.

Kerjasama bersama KBS itu turut melengkapi pelbagai usaha MILO® dalam pembangunan sukan akar umbi menerusi inisiatif seperti Klinik Juara MILO® dan kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

Menjelang Sukan SEA 2027, usaha memperkukuh ekosistem sukan serta menyuntik semangat kepada generasi muda dilihat penting bagi memastikan kesinambungan bakat atlet negara, selain menyatukan rakyat Malaysia melalui aspirasi bersama untuk melihat Jalur Gemilang terus berkibar di pentas antarabangsa.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading