KUALA LUMPUR – Pengunjung Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta (AMFF) @ Festival Budaya Malaysia 2026 berpeluang menikmati sajian istimewa daripada Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur apabila hotel berkenaan membuka gerai khas sepanjang enam hari penganjuran festival itu.
Kerjasama tersebut menjadikan Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur sebagai Rakan Hotel Rasmi AMFF 2026, yang berlangsung dari 11 hingga 16 September ini di Taman Tasik Titiwangsa.
Menerusi penyertaan itu, Seri Pacific bukan sekadar memainkan peranan sebagai penyedia perkhidmatan hospitaliti rasmi, malah membawa pengalaman kulinari hotel lima bintang lebih dekat kepada orang ramai menerusi hidangan terpilih yang ditawarkan terus di lokasi festival.

Zakariya Musa, Pengurus Besar hotel Seri Pacific KL berkata, penyertaan dalam AMFF 2026 memberi peluang kepada pihaknya untuk menyokong platform yang mengetengahkan kekayaan budaya, makanan dan komuniti Malaysia.
Menurutnya, penglibatan secara langsung bersama pengunjung turut membolehkan jenama hotel itu berhubung dengan masyarakat menerusi pengalaman gastronomi dan hospitaliti.
AMFF 2026 dianjurkan sebagai sebahagian daripada Festival Budaya Malaysia 2026 di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), dengan menggabungkan elemen gastronomi, kebudayaan, keusahawanan, gaya hidup dan komuniti.
Edisi kedua AMFF tahun ini menghimpunkan lebih 80 vendor daripada pelbagai segmen, termasuk makanan, seni dan budaya, muzik, kecantikan, gaya hidup serta kecergasan.
Selain sajian makanan, festival berkenaan turut menampilkan demonstrasi masakan, persembahan tradisional dan kontemporari, aktiviti keluarga serta pelbagai program komuniti.

Penyertaan Seri Pacific Hotel sekali gus menambah variasi pengalaman gastronomi kepada pengunjung, selain memperlihatkan bagaimana sektor hospitaliti tempatan boleh memainkan peranan dalam mengetengahkan makanan dan warisan Malaysia kepada masyarakat.
Dengan mengetengahkan sajian hotel secara terus kepada pengunjung festival, AMFF 2026 bukan sahaja menjadi medan menikmati makanan, malah platform yang mempertemukan industri hospitaliti, usahawan, komuniti dan orang ramai dalam suasana sambutan budaya Malaysia.
Sementara itu, beliau turut mempromosikan mengenai hi tea sempena sambutan Hari Malaysia pada bulan ini.
“Saya menjemput orang ramai untuk menjamu selera disini sambil meraikan Hari Malaysia dengan kadar serendah RM98 sahaja.
“Kita ada 100 jenis sajian bertemakan kepelbagaian kaum di Malaysia, anda boleh datang dengan busana yang melambangkan budaya kita dan pelbagai aktiviti turut disusun untuk menambah kemeriahan disini” tambahnya.
