IMG_20261006_151908

SERDANG – MySihat Expo 2026 bakal membuka tirainya di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dari 9 hingga 11 Oktober ini dengan sasaran menarik sehingga 100,000 pengunjung.

Ekspo kesihatan, kesejahteraan dan gaya hidup bersepadu itu menawarkan konsep berbeza apabila menghimpunkan pelbagai elemen kesihatan, kecergasan, makanan, wangian dan aktiviti keluarga dalam satu lokasi.

Penganjuran kali ini menampilkan MySihat Expo, FRAGMANIA serta Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta, selain turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sukan dan komuniti.

Pengarah Acara MySihat Expo 2026, Angel Lee berkata, konsep berkenaan dirangka sebagai platform sehenti yang membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat serta akses kepada penjagaan kesihatan secara lebih mudah.

Menurutnya, pengunjung berpeluang mendapatkan saringan kesihatan percuma dan konsultasi bersama pakar daripada lebih 10 hospital serta institusi kesihatan terkemuka.

Antara institusi yang mengambil bahagian termasuk Institut Jantung Negara (IJN), KPJ Healthcare, UMSC, Avisena Specialist Hospital, Assunta Hospital dan ALTY Orthopaedic Hospital.

Dewan MySihat sahaja menyediakan kira-kira 200 reruai membabitkan hospital, pusat perubatan, klinik serta rakan kecergasan.

Selain itu, FRAGMANIA menghimpunkan lebih 60 reruai berkaitan industri wangian, manakala Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta pula menampilkan antara 30 hingga 50 gerai makanan tempatan serta zon khas untuk kanak-kanak.

Penganjur yakin gabungan pelbagai segmen itu mampu menarik pengunjung daripada pelbagai peringkat umur, sekali gus menjadikan ekspo berkenaan sebagai destinasi aktiviti keluarga sepanjang hujung minggu.

Dalam pada itu, agenda kesihatan turut diperkukuh menerusi penglibatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang menyediakan reruai khas dengan kemudahan saringan serta aktiviti kesedaran berkaitan pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Orang ramai turut boleh menyertai aktiviti seperti zumba, yoga dan larian santai selain menikmati pelbagai program interaktif yang disediakan sepanjang tiga hari penganjuran.

Bagi keluarga yang membawa anak-anak, Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta turut menyediakan zon permainan kanak-kanak serta pelbagai pilihan makanan, sekali gus melengkapkan pengalaman beriadah dan bersantai di MAEPS.

Menariknya, pengunjung juga berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah ditawarkan, termasuk tiket persembahan hiburan, kenderaan, skuter elektrik, komputer riba dan peralatan kesihatan rumah.

MySihat Expo 2026 dianjurkan Moonman Events bersama United Expo dan diuruskan Events Mastery, dengan sokongan strategik KKM, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) serta Tourism Malaysia.

Kemasukan ke ekspo adalah percuma, manakala orang ramai digalakkan membuat pendaftaran awal bagi mendapatkan pas masuk dan menyertai cabutan bertuah.

Dengan sasaran 100,000 pengunjung, MySihat Expo 2026 dilihat mampu menjadi antara acara kesihatan dan gaya hidup berskala besar yang menggabungkan aspek penjagaan kesihatan, kecergasan, pemakanan dan aktiviti keluarga dalam satu platform.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading