Kuala Lumpur – Kerajaan menghimpunkan beberapa perkhidmatan awam penting ke dalam aplikasi MyGOV. Penyepaduan perkhidmatan ini membolehkan pengguna mengakses ke lesen memandu, cukai jalan, semakan saman JPJ, pasport, temujanji klinik kerajaan, dan Sumbangan Tunai Rahmah di dalam satu platform.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menyatakan aplikasi ini bertujuan menjadikan akses ke perkhidmatan kerajaan lebih mudah dan lancar. Oleh yang demikian, pengguna tidak lagi perlu tercari-cari di pelbagai platform dan lokasi.
Aplikasi berkenaan juga boleh digunakan untuk membuat semakan wang yang tidak dituntut. Selain itu, MyGOV turut menyediakan fungsi AI Chat yang boleh menyediakan maklumat dan menjawab pelbagai persoalan mengenai perkhidmatan kerajaan.
Bagaimanapun, pengguna melog masuk sebelum boleh mengakses beberapa fungsi seperti ciri AI Chat. Proses log masuknya mudah terutama kepada pengguna yang telah pun menyiapkan tetapan aplikasi MyDigital ID pada telefon pintar yang sedang digunakan.
Tambah Menteri Komunikasi berkenaan lagi, lebih banyak lagi perkhidmatan akan diintegrasikan ke dalam aplikasi MyGOV secara berfasa. Anda yang berminat boleh memuat turun aplikasi menerusi Google Play Store dan Apple App Store.
