3b61ab5e-42f8-4d13-abbe-6603fc1c0a19-1

WhatsApp sedang memberikan tumpuan penambahbaikan kualiti fungsi panggilan melalui beberapa kemaskini kebelakangan ini. Terdahulu, ciri ‘bilik menunggu’ telah diperkenalkan dan juga menambah sokongan untuk panggilan audio dan video untuk klien web platform tersebut.

Kini, kemaskini terkini membawakan ciri panggilan tetamu (guest call) yang membolehkan pengguna menjemput kenalan yang tidak mempunyai akaun menyertai panggilan.

Menurut WhatsApp, ciri panggilan ini masih lagi percuma dengan enkripsi hujung-ke-hujung tanpa had masa. Selain itu, pengguna tanpa akaun berkenaan juga boleh mengakses ke ciri-ciri tersedia di dalam panggilan seperti perkongsian skrin dan juga reaksi-reaksi emoji. Turut disediakan fungsi mengangkat tangan untuk memasuki ke dalam perbualan yang sedang diadakan.

Pun begitu, pengguna tanpa akaun tetap mempunyai hadnya seperti memerlukan kebenaran daripada hos untuk menyertai panggilan. Selepas itu, pengguna tersebut akan ditempatkan ke dalam ‘bilik menunggu’ sebelum dimasukkan ke dalam sesi panggilan.

Pengguna tanpa akaun berkenaan juga boleh dibuang daripada panggilan pada bila-bila masa. Ciri-ciri lain juga disekat kepada pengguna tanpa akaun tersebut seperti tidak boleh melihat nombor telefon peserta lain, tidak boleh menghantar mesej, dan tidak boleh menambah individu lain ke dalam sesi panggilan.

Cara membuat sesi panggilan beramai-ramai di WhatsApp

Sudah semestinya, tetamu juga tidak boleh memulakan panggilan secara bersendirian. Hanya individu yang mempunyai akaun WhatsApp sahaja yang boleh mencipta pautan panggilan.

Untuk berbuat demikian, hos perlu pergi ke tab Calls di dalam aplikasi dan memilih ikon “+”. Dari situ, mereka boleh menjana pautan dan menghantarnya kepada penerima yang diingini.

Tetamu kemudiannya boleh membuka pautan tersebut melalui pelayar web, memasukkan nama mereka, dan menyertai panggilan sebaik sahaja dibenarkan masuk oleh hos. Fungsi ini menyokong panggilan peribadi satu-sama-satu mahupun panggilan berkumpulan, dengan had maksimum sehingga 32 orang peserta.

Selain mengumumkan ciri panggilan tetamu, WhatsApp turut mendedahkan perancangan untuk memperkenalkan ciri integrasi kalendar baharu. Dijadualkan untuk dilancarkan pada penghujung tahun ini, ciri tersebut akan membolehkan pengguna menjadualkan panggilan WhatsApp terus daripada kalendar Google atau Outlook.

Menurut syarikat itu, pengguna perlu memasang pemalam (plugin) dan menyambungkan akaun mereka terlebih dahulu sebelum boleh menambah pautan panggilan WhatsApp ke dalam kalendar. Walau bagaimanapun, setakat ini masih belum ada garis masa rasmi yang tepat mengenai pelancaran penuh integrasi kalendar tersebut.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading