KUALA LUMPUR – Kehebatan teknologi automasi dalam industri makanan dan minuman (F&B) menjadi tumpuan apabila 10 mesin memasak robotik mengambil bahagian dalam pertandingan Battle of the Bots sempena Taste & Trade 360 (TT360) 2026.
Pertandingan yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) itu menyaksikan setiap mesin mempamerkan kemampuan masing-masing menyediakan hidangan tempatan menerusi proses memasak secara automatik.
Inisiatif berkenaan dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Sri Mohd Shahar Abdullah, sekali gus memperlihatkan potensi penggunaan teknologi robotik dalam mengubah landskap operasi dapur komersial.

Battle of the Bots mempertandingkan dua kategori utama iaitu Malaysia Local Cuisine Challenge dan Creative Dish Challenge yang menguji keupayaan mesin menghasilkan sajian berdasarkan beberapa kriteria termasuk rasa, kreativiti, kerumitan penyediaan serta persembahan.
Lebih daripada sekadar demonstrasi kecanggihan teknologi, pertandingan itu turut memberi peluang kepada pengusaha restoran, chef dan pemain industri F&B menilai sendiri keberkesanan penggunaan robot dalam penyediaan makanan.
Teknologi berkenaan dilihat berpotensi membantu mempercepatkan proses penyediaan hidangan, memastikan konsistensi rasa serta meningkatkan kecekapan operasi sesebuah premis makanan.
Antara inovasi yang menarik perhatian ialah X-Bot, sistem memasak robotik yang dibangunkan oleh Gene Tech Sdn Bhd menerusi kerjasama dengan Ping Edge dan UOW Malaysia.
Pengarah Gene Tech Sdn Bhd, Brian Ding berkata, keberkesanan teknologi memasak robotik tidak seharusnya dinilai berdasarkan keupayaan mesin menyediakan makanan semata-mata.

Sebaliknya, aspek kualiti hidangan, konsistensi dan kecekapan operasi perlu menjadi keutamaan bagi memastikan teknologi itu mampu memenuhi keperluan sebenar dapur komersial.
Menurutnya, penganjuran Battle of the Bots bertujuan membuktikan bahawa teknologi robotik berupaya diaplikasikan dalam persekitaran kulinari sebenar, termasuk menyediakan hidangan yang dekat dengan cita rasa masyarakat Malaysia.
Dalam masa sama, perkembangan teknologi automasi dalam sektor F&B turut meningkatkan keperluan terhadap tenaga kerja berkemahiran yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan industri.

Keadaan itu menjadikan aspek latihan, kepakaran dan pembangunan bakat antara elemen penting bagi memastikan pemain industri bersedia menghadapi perkembangan teknologi pada masa hadapan.
Sementara itu, TT360 2026 yang berlangsung sehingga 7 November membuka peluang kepada pengusaha restoran, chef dan profesional industri meneroka pelbagai inovasi serta teknologi terkini yang berpotensi dimanfaatkan dalam perniagaan mereka.
Pertandingan Battle of the Bots sekali gus memberikan gambaran bagaimana gabungan teknologi robotik dan kepakaran manusia mampu membuka dimensi baharu dalam industri makanan, khususnya dari segi produktiviti, kreativiti dan kecekapan operasi dapur.
