KUALA LUMPUR – Gabungan elemen warisan budaya, sejarah kemerdekaan dan gaya hidup aktif menjadi tarikan utama cawangan flagship terbaharu Decathlon Malaysia yang dibuka secara rasmi di Merdeka 118 Mall, di sini.
Pembukaan cawangan itu bukan sekadar memperluaskan kehadiran jenama sukan berkenaan, malah mengetengahkan identiti tempatan menerusi konsep reka bentuk yang menggabungkan nilai sejarah negara dengan elemen moden.
Menariknya, reka bentuk dalaman premis berkenaan mendapat inspirasi daripada detik bersejarah pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka.

Peristiwa bersejarah ketika Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan kemerdekaan diterjemahkan menerusi penggunaan motif songket tradisional yang digabungkan dengan sentuhan kontemporari.
Pendekatan itu mencerminkan usaha Decathlon mengangkat warisan tempatan dalam persekitaran runcit moden, sekali gus mewujudkan pengalaman membeli-belah yang lebih dekat dengan identiti masyarakat Malaysia.
Pengurus Cawangan Decathlon Merdeka 118 Mall, Siti Adlyna Azmi berkata, pembukaan premis itu turut menawarkan pengalaman membeli-belah kelengkapan sukan yang lebih mudah diakses pengunjung pusat beli-belah berkenaan.

Selain menyediakan pelbagai produk sukan, cawangan itu turut menawarkan perkhidmatan bersesuaian dengan keperluan pelanggan setempat.
Sempena pembukaan rasmi yang berlangsung dari 7 hingga 9 November, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai tawaran istimewa termasuk perkhidmatan personalisasi dan ukiran percuma bagi pembelian terpilih.
Turut disediakan ialah produk eksklusif dalam kuantiti terhad serta perkhidmatan pembaikan kasut menerusi kerjasama dengan Shoe-Box.
Dalam usaha memperkukuh hubungan dengan komuniti tempatan, Decathlon Merdeka 118 Mall turut merancang kolaborasi edisi terhad bersama penggiat seni dan artis tempatan.
Inisiatif itu dijangka membuka peluang kepada penghasilan produk serta rekaan unik yang menggabungkan kreativiti tempatan dengan identiti jenama sukan antarabangsa berkenaan.

Sebagai jenama yang menawarkan kelengkapan untuk lebih 60 jenis sukan, Decathlon komited memastikan aktiviti sukan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat menerusi produk berkualiti pada harga berpatutan.
Komitmen itu turut didukung nilai teras syarikat merangkumi tanggungjawab dan fokus dalam usaha menggalakkan lebih ramai masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif serta sihat.
Pembukaan cawangan flagship itu di Merdeka 118 Mall sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai pusat sukan dan gaya hidup yang menghubungkan warisan tempatan dengan aspirasi masyarakat moden.
