MEITU_20261107_214314360

KUALA LUMPUR – Peminat aktiviti lasak dan permainan interaktif kini mempunyai destinasi hiburan baharu menerusi pembukaan VS CHALLENGE, konsep hiburan dari Jepun yang menawarkan 20 jenis permainan berasaskan cabaran fizikal dan digital.

Bertempat di AEON MALL KL Midtown, destinasi hiburan itu merupakan lokasi pertama VS CHALLENGE di Malaysia sekali gus membuka peluang kepada pengunjung merasai pengalaman permainan interaktif yang menggabungkan teknologi, pergerakan fizikal dan persaingan sihat.

Diterbitkan oleh Bandai Namco Experience Inc. dan dikendalikan secara tempatan oleh AEON Fantasy Malaysia, VS CHALLENGE direka untuk menguji pelbagai keupayaan peserta termasuk ketangkasan, kepantasan reaksi, koordinasi badan serta kemahiran menyelesaikan cabaran.

Antara permainan utama yang ditawarkan ialah BEASTAMPEDE, yang mencabar peserta mengelak serbuan sekumpulan haiwan, manakala VS PARKOUR pula menguji ketangkasan menerusi cabaran berasaskan teknologi.

Pengunjung turut boleh mencuba VS KUNG FU yang menggabungkan pergerakan fizikal dengan permainan interaktif, selain UP&DOWN yang mengetengahkan cabaran secara berdepan dengan peserta lain.

Bagi mereka yang ingin menguji ketepatan masa dan koordinasi pergerakan, permainan JUMP Ă— JUMP turut menjadi antara pilihan yang boleh dicuba.

Kepelbagaian 20 aktiviti tersebut menjadikan VS CHALLENGE destinasi sesuai untuk kunjungan bersama rakan, keluarga serta golongan muda yang mencari pengalaman hiburan lebih aktif dan mencabar.

Menariknya, pembukaan di Kuala Lumpur turut mencatat pencapaian penting apabila Malaysia menjadi negara kedua di luar Jepun yang menempatkan operasi VS CHALLENGE selepas Indonesia.

Dari segi harga, pengunjung boleh menikmati sesi permainan standard selama dua jam dengan tambahan 15 minit untuk tempoh keluar.

Tiket kanak-kanak ditawarkan pada harga RM60 pada hari biasa dan RM64 pada hujung minggu.

Bagi kategori belia, harga tiket masing-masing ialah RM64 pada hari biasa dan RM72 pada hujung minggu, manakala tiket dewasa berharga RM76 pada hari biasa serta RM80 pada hujung minggu.

VS CHALLENGE mula beroperasi pada 5 November 2026 di AEON MALL KL Midtown, No. 7, Jalan Dutamas 2, Kuala Lumpur.

Kehadiran konsep hiburan dari Jepun itu dijangka memberikan pilihan baharu kepada masyarakat yang ingin menggabungkan aktiviti rekreasi, cabaran fizikal dan interaksi sosial dalam satu pengalaman permainan.

Leave a Reply