6064492838864491932

KUALA LUMPUR – Orang ramai di Lembah Klang kini boleh menghubungi talian 15551 untuk mendapatkan perkhidmatan ambulans kecemasan percuma, termasuk pengangkutan pesakit ke enam hospital IHH Healthcare Malaysia yang mengambil bahagian.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, penyelarasan antara petugas ambulans dan hospital membolehkan bantuan diatur sejak panggilan pertama serta memberi masa kepada pasukan perubatan untuk bersedia sebelum pesakit tiba.

“Rawatan kecemasan bermula sebaik sahaja seseorang menghubungi talian untuk mendapatkan bantuan, sebelum pesakit tiba di hospital. Setiap peringkat rawatan perlu diselaraskan dengan lancar.

“Kemajuan penjagaan kesihatan bukan sekadar soal menambah kemudahan. Ia juga bergantung pada cara kemudahan itu dihubungkan menerusi teknologi penghantaran ambulans pintar, penyelarasan masa nyata dan piawaian rawatan prahospital yang seragam,” katanya pada majlis pelancaran perkhidmatan itu di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) semalam.

1551 IHH INSERT
Datuk Hanifah Hajar Taib, menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran talian 15551 yang menawarkan perkhidmatan ambulans kecemasan percuma ke enam hospital IHH Healthcare Malaysia. – Kredit IHH Healthcare

Enam hospital berkenaan ialah Gleneagles Hospital Kuala Lumpur, Pantai Hospital Kuala Lumpur, Pantai Hospital Ampang, Pantai Hospital Cheras, Pantai Hospital Klang dan Prince Court Medical Centre.

Panggilan ke 15551 diterima oleh Pusat Kawalan Ambulans IHH, yang menilai keadaan dan lokasi pesakit sebelum menghantar ambulans terdekat yang tersedia dan mampu memberikan rawatan yang diperlukan.

Pusat kawalan itu boleh mengendalikan beberapa panggilan kecemasan serentak dan akan memaklumkan jabatan kecemasan hospital penerima lebih awal supaya pasukan perubatan dapat membuat persediaan.

Selepas ambulans dihantar, pemanggil akan menerima pautan melalui WhatsApp dan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk menjejak lokasi ambulans secara langsung serta menyemak anggaran waktu ketibaan.

1551 IHH INSERT
Datuk Hanifah Hajar Taib (kiri), meninjau ambulans yang digunakan bagi perkhidmatan talian 15551, diiringi Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Dr Kamal Amzan (kanan), dan pegawai IHH. – Kredit IHH Healthcare

Ambulans jenis A yang digunakan memenuhi keperluan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dilengkapi peralatan sokongan hayat lanjutan, termasuk defibrilator, bekalan oksigen dan alat pemantauan pesakit, bagi membolehkan rawatan dimulakan di lokasi kejadian dan diteruskan sepanjang perjalanan ke hospital.

Pasukan ambulans lazimnya terdiri daripada seorang paramedik atau juruteknik perubatan kecemasan dan seorang pemandu terlatih, manakala jururawat atau doktor boleh ditugaskan bagi kes yang lebih serius mengikut keperluan klinikal.

Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Dr Kamal Amzan berkata, kos kadangkala menyebabkan orang ramai teragak-agak untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

“Tiada sesiapa sepatutnya terpaksa memikirkan kos ambulans ketika insan tersayang sedang bertarung nyawa,” katanya.

Beliau berkata, tempoh respons dan proses penyerahan pesakit antara aspek yang akan dipantau bagi memastikan piawaian perkhidmatan seragam di hospital yang mengambil bahagian.

1551 IHH INSERT
Dr Kamal Amzan, berucap pada majlis pelancaran talian kecemasan berpusat 15551 di MITEC, Kuala Lumpur. – Kredit IHH Healthcare

“Di sinilah kelebihan mempunyai rangkaian hospital. IHH mempunyai 18 hospital di seluruh negara, tetapi jumlah itu sahaja tidak menggambarkan mutu rawatan yang diterima pesakit.

“Hospital kami boleh mencapai lebih banyak apabila bekerjasama, dan inisiatif ini antara cara untuk memanfaatkan rangkaian itu dengan lebih baik. Kami akan menilai keberkesanan respons, mengenal pasti kelemahan dan menggunakan dapatan itu untuk menentukan langkah seterusnya,” tambahnya.

Pelaksanaan di Lembah Klang merupakan fasa pertama perkhidmatan itu, dengan peluasan ke kawasan lain sedang dipertimbangkan.

Leave a Reply