PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia kini boleh memperbaharui pasport menerusi aplikasi MyGOV Malaysia termasuk mengemukakan permohonan, membuat pembayaran secara dalam talian dan memilih pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tujuan pengambilan dokumen perjalanan itu.
Kementerian Digital dalam kenyataan hari ini memaklumkan penambahbaikan menerusi pelancaran kemas kini aplikasi MyGOV Malaysia versi 2.1.4 itu membolehkan rakyat menguruskan permohonan secara digital dengan lebih mudah dan pantas.
Menurut kenyataan itu, kemudahan berkenaan merupakan antara penambahbaikan utama yang diperkenalkan oleh GovTech Malaysia dalam usaha memperkukuh pendigitalan perkhidmatan awam.
“Bagi fasa awal pelaksanaan, kemudahan pengambilan pasport ini hanya disediakan di Pejabat Imigresen Shaftsbury, Putrajaya. Lokasi pengambilan lain akan diperluas secara berperingkat oleh JIM bagi meningkatkan akses dan kemudahan kepada rakyat di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
Selain pembaharuan pasport, kementerian itu memaklumkan aplikasi berkenaan turut mempertingkatkan fungsi MyNotifikasi dengan keupayaan penyampaian notifikasi yang lebih bersasar dan diperibadikan mengikut keperluan pengguna.
Menurut Kementerian Digital, penambahbaikan berkenaan membolehkan rakyat menerima pengumuman, maklumat program, inisiatif serta makluman penting daripada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan secara terus menerusi aplikasi berkenaan agar rakyat tidak terlepas maklumat berkaitan perkhidmatan dan inisiatif kerajaan yang relevan dengan mereka.
“MyGOV Malaysia turut memperkenalkan fungsi semakan lokasi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Fungsi ini memudahkan orang ramai mengenal pasti lokasi pusat NADI berhampiran bagi mendapatkan akses kepada pelbagai kemudahan dan program yang disediakan secara percuma, termasuk kemudahan Internet, pemeriksaan kesihatan serta program Tuisyen Rakyat,” menurut kenyataan itu.
Menurut kementerian itu, inisiatif berkenaan turut menyokong usaha memperluas akses digital, meningkatkan literasi digital dan memperkukuh peluang pembelajaran dalam kalangan komuniti setempat.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Digital menggalakkan orang ramai mengemas kini aplikasi MyGOV Malaysia kepada versi terkini menerusi Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery bagi menikmati ciri-ciri serta penambahbaikan yang disediakan.
“Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh ekosistem perkhidmatan digital menerusi kerjasama rentas kementerian dan agensi bagi merealisasikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap, bersepadu dan berpaksikan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia menuju Negara AI 2030,” menurut kenyataan itu.
— BERNAMA
