Kuala Lumpur – Ella menerusi sesi langsung di salah satu media sosialnya baru-baru ini telah berkongsi beberapa info terkini mengenai persiapan konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup bersama pengikut dan penggemarnya di aplikasi TikTok, termasuk berkongsi beberapa judul lagu yang bakal dipersembahkan pada 5 Disember (Sabtu) ini di Unifi Arena, Kuala Lumpur.
Antara yang menarik perhatian ialah ‘single’ atau karya lagu terbaru Ella yang bakal dirakam, turut disenaraikan sebagai sebahagian daripada persembahan malam tersebut.
Selepas hampir 10 tahun, Ella bakal kembali dengan karya terbaharu hasil nukilan Saari Amri dengan tulisan lirik dari Azam Dungun.
Karya terkini ini bakal dipersembahkan buat pertama kali secara langsung di ‘Sidang Penutup’, sekali gus memberi peluang kepada peminat yang hadir untuk menjadi yang pertama mendengarkan karya terbaharu daripada Ratu Rock Ella dan kumpulan pemusiknya yang diketuai Datuk Acis .
Selain lagu baharu tersebut, peminat yang hadir juga bakal disajikan dengan karya yang jarang dibawakan tersenarai dalam senarai main, termasuk Menyanyilah La La La, Puisi Hamba, Bendera Damai, Kabus dan Sirna serta Puteri Kota.
Dengan hanya beberapa minggu sebelum tirai Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup berlabuh, peminat juga bakal disajikan dengan persembahan istimewa gandingan Ella dan artis jemputan istimewa termasuk Yuna, Datuk Ziana Zain dan Shima.
Tiket boleh didapati menerusi www.hitmanlive.com.
Dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Rockqueen, konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup turut mendapat sokongan daripada Era FM, Sinar FM, Mix FM, Lite FM dan THR Gegar (Radio Partners), Astro Gempak, World of Buzz dan HLive (Media Partners), Libroff, Ad Box dan Laura Creative (Outdoor Media Partners), The Saujana Hotel Kuala Lumpur (Hotel Partner) yang bersama-sama menjayakan malam istimewa ini.
