KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong supaya menghentikan ‘perang mulut’.
Menurut Ahmad Zahid yang merupakan Naib Presiden UMNO dan menjalankan tugas Presiden, kedua-dua pemimpin tersebut hanya melontarkan pendapat peribadi dan bukan pendirian rasmi daripada UMNO atau pun MCA.
“Tidak perlu menuding jari antara pemimpin. Kedua-dua tokoh berkenaan hendaklah bersatu fikiran untuk menggembleng tenaga dalam barisan pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Semalam dilaporkan Annuar membidas Ka Siong yang dilaporkan mendakwa, era MCA menanggung kesalahan UMNO sudah tamat sambil menyifatkan parti tersebut telah diserang ‘angin ahmar’ selepas Pilihan Raya Umum ke-13.
