TOKYO: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersedia untuk terus berkhidmat jika itu adalah kehendak rakyat dan selagi mereka memerlukan beliau.
“Sudah tentu, saya tidak tahu berapa lama saya sendiri akan bertahan,” katanya sewaktu berucap pada Persidangan Nikkei di sini pada Isnin.
Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau sudah menjadi perdana menteri tertua di dunia sambil menambah bahawa dalam tempoh dua tahun beliau akan berusia 95 tahun.
“Jika itulah apa yang rakyat mahu saya lakukan, saya akan mengikut kehendak mereka,” tambahnya lagi.
Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri untuk kali kedua bulan lepas selepas mengetuai gabungan Pakatan Harapan untuk meraih kemenangan yang menakjubkan dalam pilihan raya umum 9 Mei.
Beliau adalah perdana menteri dari tahun 1981 hingga 2003.
Beliau kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Jepun.
