Kuala Lumpur – Menari antara cara terbaik untuk meningkatkan kesihatan dan kesegaran tubuh. Selain itu, tarian dengan kombinasi unik daripada latihan fizikal, interaksi sosial dan tumpuan dapat membantu menghilangkan tekanan, menambah tenaga dan stamina serta meningkatkan kekuatan otot tubuh.

Justeru tidak hairan tarian moden seperti zumba dan hip hop semakin diminati ramai tidak kira usia dan latar belakang hingga rutin tarian itu dijadikan kaedah menyeronokkan untuk meningkatkan kesihatan.

Menyedari kesedaran mengenai gaya hidup sihat melalui tarian semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, studio tarian Funky Fresh Studio menganjurkan program tarian Funky Fit Fever 2019 di Stadium Chin Woo, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Program menggabungkan tarian kecergasan zumba dan hip hop itu menarik minat lebih 400 peserta pelbagai peringkat umur dan menariknya, ia turut disertai masyarakat berbilang bangsa.

 

 

Pengarah Urusan Funky Fresh Studio Siti Hadzrah Abd Rahim berkata, aktiviti tarian untuk kecergasan semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, justeru, program itu diadakan khusus untuk mempromosi kesihatan dan kecergasan melalui tarian.

Tarian bukan saja dapat menjadikan regim senaman yang menarik malah memupuk budaya hidup sihat di saat negara berdepan kadar rakyat mengalami obesiti yang semakin meningkat setiap tahun.

“Ditambah dengan iringan muzik rancak, tarian dapat dilakukan dengan lebih menyeronokkan dan secara tidak langsung menjadikan regim senaman tidak lagi membosankan.

“Saya bersyukur kerana acara yang julung kali dianjurkan ini mendapat sambutan hangat daripada orang ramai, termasuk lelaki yang mahu menjalani kehidupan lebih sihat,” katanya.

Menurut Siti Hadzrah, Funky Fit Fever 2019 turut mendapat sokongan dari jurulatih antarabangsa iaitu Zes Prince Paltu yang sememangnya terkenal dalam tarian zumba.

“Beberapa rutin tarian dilaksanakan pada acara ini, antaranya zumba dan hip hop. Saya berharap program ini dapat dilaksanakan sebagai acara tahunan dan mengumpulkan lebih ramai peserta,” katanya.

Lebih cergas, turun berat badan

Sementara itu, salah seorang peserta Funky Fit Fever yang juga bekas pesakit kanser,  Shaidatul Balkis Herman berkata, program itu menarik minatnya kerana selain dapat bersenam dengan cara yang lebih menghiburkan, dia dapat menambah kenalan baru yang berkongsi minat sama. Beliau juga memberitahu, aktiviti seperti ini membuatkannya menjalani gaya hidup sihat selepas berjuang melawan kanser selama 7 tahun.

 

“Tambahan pula, dengan kehidupan di ibu kota yang sibuk, penyertaan program ini dapat membantu mengurangkan tekanan di samping meningkatkan kecergasan saya” katanya.

Acara ini ditaja oleh Moleque iaitu satu jenama produk kecantikan dan kesihatan sebagai memberi sokongan kepada para peserta agar seiring dalam menjaga kesihatan tubuh badan.

Menurut pemilik produk, Siti Zahera Azhar, tahun ini merupakan tahun pertama penajaan syarikatnya iaitu Zaharah Molecule Touch Sdn Bhd dalam acara prestij ini dan berhasrat untuk menajanya lagi jika diberi peluang pada masa kan datang. 

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading