KUALA LUMPUR – Pertubuhan Global Hayat menyasarkan kutipan dan agihan dana sebanyak RM1 juta menerusi pelaksanaan Misi Kemanusiaan Musim Sejuk 2026 Rentas Sempadan bagi membantu kira-kira 23,000 individu yang terjejas akibat konflik dan krisis kemanusiaan di Palestin, Syria, Lubnan serta Yaman.
Misi tersebut memberi tumpuan kepada penyediaan keperluan asas termasuk makanan, pakaian musim sejuk, selimut, bahan api dan bantuan perlindungan bagi meringankan beban keluarga pelarian, anak yatim, warga emas serta golongan rentan yang berdepan kesukaran menjalani kehidupan sepanjang musim sejuk.
Global Hayat dalam kenyataannya berkata, kedatangan musim sejuk merupakan cabaran besar kepada masyarakat yang kehilangan tempat tinggal, khususnya mereka yang terpaksa berlindung di kawasan serba kekurangan tanpa kemudahan pemanasan dan bekalan keperluan mencukupi.
Keadaan itu turut diburukkan dengan kejadian banjir kilat yang menjejaskan tempat perlindungan, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan dan kesihatan penduduk terjejas.
Bagi menjayakan misi berkenaan, Global Hayat akan bekerjasama dengan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu Kelab Perwira Malaysia, Komuniti Dakwah Tarbiah dan Nisa Al-Khair, menerusi misi lapangan ke Syria dan Lubnan yang dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 11 Disember 2026.

Seramai 12 anggota delegasi Malaysia akan menyertai misi tersebut bagi mengagihkan bantuan, mengunjungi penempatan pelarian Palestin serta meninjau sendiri keadaan kehidupan dan keperluan masyarakat di kawasan berkenaan.
Selain Syria dan Lubnan, bantuan turut disalurkan ke Palestin dan Yaman menerusi wakil serta kerjasama strategik dengan NGO rakan pelaksana di lapangan bagi memastikan penyampaian bantuan dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.
Secara keseluruhan, misi berkenaan menyasarkan 23,000 penerima manfaat dengan pecahan 10,000 orang di Palestin, 6,000 di Syria, 4,000 di Lubnan dan 3,000 di Yaman.
Global Hayat turut menegaskan bahawa penderitaan rakyat Palestin bukan hanya tertumpu di Gaza, malah turut melibatkan keluarga pelarian yang telah menetap di Syria dan Lubnan sejak beberapa generasi.
Selain keperluan makanan dan tempat perlindungan, komuniti berkenaan juga memerlukan akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan serta peluang membina kehidupan lebih baik dan bermaruah.
Sehubungan itu, pendekatan bantuan kemanusiaan perlu diperluas melangkaui bantuan kecemasan dan bermusim, sebaliknya dilaksanakan secara berterusan bagi memperkasakan komuniti serta membantu memulihkan kehidupan mereka.
Dalam pada itu, dana RM1 juta yang disasarkan akan digunakan untuk membiayai pelbagai bentuk bantuan termasuk bekalan makanan, pakaian musim sejuk, selimut, bahan api dan keperluan asas keluarga berdasarkan keperluan sebenar di lapangan.
Global Hayat turut mengajak rakyat Malaysia, sektor korporat, institusi, NGO serta individu yang prihatin untuk bersama-sama menyumbang bagi memastikan misi berkenaan mencapai matlamatnya.
Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun rasmi pertubuhan seperti berikut:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5622 6361 4906
Nama Akaun: PERTUBUHAN GLOBAL HAYAT
Laman Web: misihayat.com
Dalam perkembangan berkaitan, Global Hayat turut mengumumkan pelantikan pasangan selebriti, Raqib Majid dan Tasha Manshahar serta personaliti media, Fedtri Yahya sebagai Ikon Kemanusiaan Global Hayat.
Pelantikan itu merupakan sebahagian daripada strategi pertubuhan berkenaan untuk memperluas kesedaran masyarakat dan meningkatkan penyertaan dalam agenda kemanusiaan menerusi pendidikan, penyebaran maklumat serta kempen berimpak tinggi.

Pengaruh dan pengalaman ketiga-tiga personaliti berkenaan dijangka membantu mendekati pelbagai lapisan masyarakat, khususnya golongan muda, keluarga dan golongan profesional.
Global Hayat berharap pelantikan tersebut dapat melahirkan lebih ramai individu yang bukan sahaja peka terhadap krisis kemanusiaan, malah bersedia menyampaikan maklumat tepat, membina kesedaran dan menggerakkan masyarakat untuk turut membantu.
Kerjasama itu juga tidak terhad kepada kempen musim sejuk, sebaliknya akan diperluas kepada pelbagai inisiatif kemanusiaan pada masa hadapan.
Global Hayat menegaskan bahawa tanggungjawab kemanusiaan tidak seharusnya dibatasi sempadan geografi, bangsa mahupun negara, terutama ketika masih ramai keluarga berdepan kelaparan, kanak-kanak terdedah kepada kesejukan dan masyarakat kehilangan tempat perlindungan.
Walaupun tidak mampu menyelesaikan keseluruhan krisis kemanusiaan dunia, setiap pihak masih berpeluang membawa perubahan menerusi sumbangan dan tindakan yang mampu meringankan penderitaan insan lain.
Menerusi Misi Kemanusiaan Musim Sejuk 2026 Rentas Sempadan, Global Hayat berharap sasaran RM1 juta dapat direalisasikan bagi membawa manfaat kepada 23,000 individu di empat negara, sekali gus menyampaikan harapan dan membantu memulihkan kehidupan mereka yang memerlukan.
