Beliau malah meluahkan kekecewaan dan kehairanan bagaimana DBKL boleh menggunakan bahan binaan itu sedangkan pembayaran masih belum dilunaskan sehingga hari ini.

“Bahan binaan yang kami bekalkan kepada DBKL adalah besi yang terbentang di tengah-tengah bulatan Datuk Onn ini yang asalnya besi itu belum dipotong dan dicat lagi.

“Namun sekarang besi ini telah dipotong, dicat warna lain dan tidak lama lagi, besi ini rasanya akan diguna pakai oleh DBKL untuk membina jambatan yang akan merentangi bulatan itu.

“Walaupun satu laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibuat, namun hasilnya tetap sama iaitu gagal mendapatkan keadilan walaupun siasatan sewajarnya telah dilakukan oleh kedua-dua pihak tersebut,” katanya dalam sidang akhbar yang dilakukan di hadapan Bulatan Datuk Onn di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengurus Operasi syarikat, Muhammad Faizal Bahrim dan Presiden Persatuan Pengamal Media, Teknologi Maklumat dan Komunikasi Malaysia (Mikom), Kamarul Hisham Azim.

Dalam pada itu, Zaidzul Akmar menjelaskan tindakan mengadakan sidang akhbar itu dilihat sebagai jalan terakhir supaya keadilan dan suara pekerja di syarikat usahawan Melayu Bumiputera itu didengari.

“Kita bukan sengaja hendak mencari jalan untuk bergaduh dengan mana-mana pihak, tetapi kita hanya menuntut hak yang sewajarnya.

“Hakikatnya, dengan nilai tuntutan besar itu bukan hanya untuk syarikat semata-mata tetapi kepada semua kakitangan yang kini hanya tinggal dalam 11 orang untuk sara hidup diri mereka dan keluarga serta kesinambungan syarikat,” rintihnya.