KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau akan melepaskan jawatan Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Penegasan itu dibuat pada sesi dialog anjuran Majlis Hubungan Luar di New York, semalam.
“Saya bekerja 18 jam sehari kerana saya tidak mempunyai banyak masa.
“Saya janji akan berundur sebelum PRU akan datang dan memberi laluan kepada calon lain. Jadi, saya mungkin ada lagi tiga tahun paling lama.
“Dalam tempoh tiga tahun itu, saya perlu menyelesaikan banyak perkara,” katanya.
Mandat kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi PRU-14 pada 9 Mei tahun lalu akan berlarutan hingga 2023, sekali gus menyaksikan PRU-15 bakal diadakan pada atau sebelum itu.
Dr Mahathir sebelum ini menyatakan bahawa beliau akan berundur selepas dua tahun memegang jawatan Perdana Menteri.
Perjanjian bersama antara pemimpin parti komponen PH juga menyatakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu akan menyerahkan jawatan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada tarikh yang belum diketahui.
Pada Jun lalu, dalam wawancara bersama wartawan CNBC, Tanvir Gill di Bangkok, Thailand, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan pendirian bahawa beliau akan menyerahkan jawatannya kepada Anwar dalam tempoh tiga tahun.
Perdana Menteri dilaporkan turut menegaskan tidak akan memegang jawatan itu lebih daripada tiga tahun.
Bagaimanapun pada minggu lalu, Anwar memberitahu Bloomberg Television bahawa beliau menjangkakan mengambil alih tampuk pentadbiran negara sekitar tahun depan.
Anwar dilaporkan berkata, biarpun tiada tarikh tepat, peralihan kuasa yang akan menyaksikan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan, dijangka berlaku pada 2020.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, beliau tidak pasti jika penggantinya boleh melakukan dengan baik dan mengungkit kekecewaan terhadap penggantinya ketika berundur pada 2003.
“Saya tidak boleh menjamin orang yang menggantikan saya akan melakukan dengan baik, atau mungkin tidak terlalu baik.
“Saya tidak boleh jamin, tetapi kita boleh melaksanakan jentera yang betul. Jika anda bekerja mengikut sistem itu, saya fikir kita boleh mencapai matlamat status negara maju menjelang 2030,” katanya.
