KUALA LUMPUR – Kemelut perkahwinan antara pelakon popular Sharnaaz Ahmad dan isterinya Noor Nabila Mohd. Noor memasuki episod baharu apabila pelakon itu memfailkan permohonan nusyuz.
Tuntutan itu difailkan Sharnaaz, 34, atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad sebagai plaintif terhadap Noor Nabila, 34, selaku defendan di Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Terdahulu semasa prosiding, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Sharnaaz memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya telah memfailkan permohonan itu pada 19 September lalu.
Peguam syarie Azmi Mohd. Rais yang mewakli Noor Nabila kemudian mengesahkan menerima tuntutan permohonan daripada plaintif.
Berikutan itu Hakim Syarie Ahmad Muttaqi Ismail menetapkan 6 November ini untuk sebutan semula kes.
Sejurus selepas tamat prosiding, Sharnaaz ketika ditemui berkata, tindakannya memfailkan nusyuz itu kerana ingin memperbetulkan spekulasi yang sedang diperkatakan mengenai rumah tangganya.
“Selain itu, saya juga mahu menyelesaikan isu antara dia (Noor Nabila) dengan cara yang terbaik tanpa perlu ada perbalahan,” katanya.
Dalam prosiding sama, kedua-dua belah pihak juga masing-masing telah melantik wakil jawatankuasa pendamai (JKP).
Sharnaaz telah melantik kakaknya iaitu Dr. Sherrini Ahmad Bazir Ahmad sebagai wakil jawatankuasa pendamai (JKP) manakala Noor Nabila melantik bapa tirinya, Abdul Halim Khan.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh yang sama bagi laporan JKP kedua-dua belah pihak.
Pada 11 September lalu, Mahkamah Rendah Syariah di sini memerintahkan pasangan itu perlu menjalani proses JKP.
