KUALA LUMPUR – Wartawan Wan Noor Hayati Wan Alias akan mengemuka representasi kepada Pejabat Peguam Negara untuk mengkaji semula tiga pertuduhan membuat kenyataan membabitkan COVID-19 yang dikenakan terhadapnya.
Peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunus yang mewakili Wan Noor Hayati, 41, memaklumkan Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bahawa representasi berkenaan juga bagi pihak pendakwaan menimbangkan untuk menarik balik tuduhan itu.
Sehubungan itu, Jahaberdeen memohon pihak pendakwaan untuk memberikan kertas pertuduhan terhadap anak guamnya bagi membolehkan pembelaan mengemuka representasi.
Masjtret Tawfiq Affandy Chin kemudian menetapkan 27 April ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, Wan Noor Hayati didakwa melalui akaun Facebook miliknya, ‘Ibu Yati’ secara sedar membuat kenyataan mengenai coronavirus dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada golongan awam.
Ketiga-tiga kenyataan itu dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, di sini, jam 10 malam, pada 26 Januari 2020 dan didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pada prosiding itu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal.
