Puchong –  Yayasan Winner Emperor Sedunia hari ini akan mendermakan sejumlah 500,000 unit topeng perlindungan pernafasan kepada orang awam terutama pelajar sekolah bagi membantu masyarakat dalam mengatasi jangkitan virus Covid-19 yang semakin menular di Malaysia pada masa kini.

“Niat saya ikhlas untuk membantu golongan memerlukan bagi membendung Covid-19, namun ada pihak mengambil kesempatan dengan melakukan penipuan serta menaikkan harga penutup mulut dan hidung,” kata Pengerusi Winner Dynasty Group Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Tujuan bantuan kemanusiaan ini adalah sebagai menyahut seruan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang meminta agar rakyat bersama-sama membantu dalam menangani masalah penularan virus ini.

Selain itu, Nicky Liow juga berharap usaha baik ini dapat bersama pihak kerajaan dan seterusnya membuka mata pihak tidak bertanggung jawab yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlipat kali ganda dalam penjualan topeng muka.

Beliau yang juga berkongsi pengalaman ditipu beberapa pihak dalam proses mendapatkan stok topeng muka juga berharap agar pihak berwajib dapat memantau pembekal yang tidak sah.

Menurutnya, beliau sudah membuat tiga laporan polis berhubung kes penipuan dan peningkatan harga penutup berkenaan dalam urusan pembelian barang kawalan itu bertujuan untuk diberikan kepada komuniti Puchong serta golongan pelajar di kawasan sekitar.

Dalam dua laporan polis berasingan pada 29 Januari lalu, beliau mengalami kerugian RM20,000 selepas lebih 300 kotak penutup berkenaan yang ditempah tidak diterima.

Malah, satu lagi urusan pada 3 Mac lalu untuk membeli satu juta penutup berkenaan berdepan kesukaran apabila penjual tiba-tiba menaikkan harga mencecah RM1.70 sen setiap satu.

Nicky berkata, hasil pemeriksaan dilakukan terhadap penutup dibeli dengan kos RM650,000 terbabit mendapati jenamanya adalah palsu menyebabkan beliau membuat laporan polis berhubung perkara itu.

“Saya terpanggil untuk membantu dengan memberikan sumbangan penutup hidung dan mulut selepas membaca titah Yang di-Pertuan Agong supaya ada pihak yang menghulurkan sumbangan kepada masyarakat.

“Inisiatif ini saya lakukan bermula dalam kalangan komuniti Puchong terlebih dahulu kerana saya difahamkan ada beberapa kes Covid-19 dilaporkan di kawasan ini.

“Bagaimanapun saya terkilan kerana ada pihak yang mengambil kesempatan dengan melakukan penipuan serta menaikkan harga penutup berkenaan berlipat kali ganda kerana tujuan saya membelinya dalam kuantiti banyak adalah untuk diagihkan kepada golongan memerlukan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam majlis berkenaan, beliau turut menderma satu kotak penutup mulut dan hidung kepada Naib Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khen Chee Puchong, Chia Sang Sang.

“Pada masa sama, saya mengajak mana-mana pihak lain sama ada individu, syarikat korporat mahupun pertubuhan bukan kerajaan untuk sama-sama membantu rakyat Malaysia mengatasi penyebaran virus Covid-19 dengan memberikan sumbangan dalam apa jua bentuk,” katanya.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading