GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini memberi amaran pandemik COVID-19 kini ‘semakin pantas’ merebak tetapi serangannya masih boleh dibendung.
Ini selepas angka kematian akibat coronavirus itu kini melebihi 15,000 orang dengan lebih 341,000 orang dijangkiti di seluruh dunia, manakala hampir semua negara di dunia merekodkan kes jangkitan.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata hanya dalam masa 67 hari bermula kes pertama dikesan, ia kini mencecah 100,000 untuk kes pertama.
“Sementara itu, 100,000 kes kedua serta ketiga masing-masing dilaporkan dalam tempoh 11 dan empat hari,” katanya dalam taklimat harian atas talian kepada lebih 300 wartawan berhubung perkembangan pandemik itu.
Bagaimanapun, angka rasmi itu dipercayai hanya sebilangan kecil daripada jumlah sebenar kerana kebanyakan negara hanya melakukan ujian pengesahan terhadap kes yang amat serius dan perlu dimasukkan ke hospital.
Tedros berkata usaha merawat pesakit COVID-19 tidak mencukupi, sebaliknya virus itu sendiri perlu ‘diserang’ dan dibasmi jika mahu memenangi perang menentangnya.
Beliau turut mengakui banyak negara masih kekurangan sumber untuk mengambil langkah lebih agresif bagi merawat atau melakukan ujian pengesahan penyakit.
Beliau menyeru komitmen politik global untuk menangani pandemik itu dengan mendesak semua negara mengambil kedua-dua kaedah iaitu ‘bertahan’ dan ‘menyerang’.
“Meminta orang ramai duduk di rumah dan pendekatan penjarakan sosial (sosial distancing) adalah penting untuk memperlahankan virus merebak, namun ini adalah corak bertahan.
“Untuk memenanginya, kita perlu menyerang virus itu dengan taktik lebih agresif dan lebih berfokus iaitu menguji setiap kes yang disyaki, memisahkan setiap kes yang positif, mengenal pasti dan kuarantinkan kes kontak,” katanya.
Tedros juga memuji usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mendapatkan vaksin dan ubat bagi merawat COVID-19.
“Bagaimanapun, setakat ini tiada kaedah rawatan atau ubat yang terbukti berkesan bagi membasmi COVID-19 dan berhati-hati menggunakan ubat yang tidak terbukti berkesan.
“Menggunakan ubat yang belum diuji tanpa bukti kukuh sama ada mujarab atau tidak mungkin membawa lebih kemudaratan berbanding kebaikan,” katanya.
Antara lain, beberapa negara kini menggunakan ubat anti-malaria bagi merawat COVID-19.
Tedros berkata peningkatan jumlah pekerja kesihatan yang didapati positif COVID-19 juga membimbangkan.
Tegas beliau mereka perlu dilindungi daripada virus itu kerana ramai pesakit akan meninggal dunia sekiranya golongan yang merawat mereka turut terancam.
Kata Tedros, 10 juta orang kini menggunakan sistem amaran WHO mengenai laporan kecemasan menerusi khidmat WhatsApp dengan versi bahasa Arab, Perancis dan Sepanyol diperkenalkan minggu ini.
Beliau juga bercadang meminta bantuan pemimpin negara G20 untuk bersama-sama melawan pandemik itu seberapa kuat yang boleh. – AFP
