
KUALA LUMPUR – ICFL terus mengatur strategi bagi memperkenalkan lagi jenamanya dalam penganjuran seminar pembangunan bola sepak dan seterusnya penganjuran liga bola sepak bawah 14 tahun di negara ini.
Bagi memperkenalkan lagi jenamanya, Presiden ICFL, Dato’ Kamil Mokhtar hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama GR Travel & Tours yang diwakili Pengarah Urusannya, Puan Marlina Ramly.
Hadir menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut ialah Pengarah Kanan Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Dato’ Dr. Ammar Bin Abdul Ghapar.

Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, MATIC Jalan Ampang hari ini turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti tanah air dan juga bekas pemain kebangsaan.
Pada tahun ini, GR Travel & Tours akan menjadi penaja utama Piala Super ICFL dengan kerjasama Tourism Malaysia melalui kempen Cuti-Cuti Malaysia dan kerjasama ini diharap dapat merancakkan lagi penganjuran liga.

Kerjasama itu antara lain akan melibatkan penganjuran Kem Jaguh untuk pemain remaja bermula peringkat umur 10 hingga 17 tahun melibatkan lima (5) sesi bermula 25 Julai ini di Encore Theater Melaka.

Dalam masa yang sama kerjasama ini akan dapat merancakkan lagi sektor pelancongan selain membantu meningkatkan ekonomi negara melalui sektor perhotelan, makanan dan kraftangan.
