NILAI – Lima belas syarikat peruncitan dan tiga syarikat e-dagang mengambil bahagian dalam Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) sejak ia dilancarkan pada bulan Julai lepas, dan sambutan orang ramai dilihat cukup memberangsangkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya mengalu-alukan penyertaan lebih banyak syarikat peruncitan dalam kempen itu bagi menyokong usaha kerajaan membantu menyemarakkan semula sektor peruncitan yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.

“Kita berterima kasih kepada peniaga besar seperti Aeon, Mydin, Lulu Hypermarket dan lain-lain yang mengambil bahagian. Kita amat mengalu-alukan bantuan syarikat-syarikat besar dan kita harap usaha ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Karnival Bumi Kenyalang dan Kempen Beli Barangan Malaysia di sini, hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam; Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Mohd Naroden Majais; dan Pengerusi AEON Co (M) Bhd Datuk Iskandar Sarudin  

Nanta berkata Karnival Bumi Kenyalang selama dua minggu bermula 14 Sept lepas yang menyasarkan jualan sebanyak RM350,000 melibatkan 26 usahawan dari Sarawak, telah merekodkan jualan mencecah RM180,000 dalam tempoh lima hari penganjurannya.

“Saya berharap program ini akan diteruskan dan dipanjangkan kepada negeri-negeri lain bagi membantu lebih banyak usahawan kecil dan sederhana dalam negara,” katanya.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading