Terkini

UiTM perkenal konvokesyen secara janji temu, ikuti norma baharu

SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) memperkenalkan penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu bagi menjaga keselamatan, kesihatan, kebajikan dan keselesaan (4K) graduan, ibu bapa serta seluruh warga yang terlibat.

Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata langkah alternatif itu dilakukan berikutan pandemik COVID-19 masih berleluasa dengan peningkatan kes yang tidak menentu.

“Menyedari hakikat inilah maka Pengurusan Tertinggi UiTM amat prihatin dan melakukan yang terbaik bagi memenuhi hasrat para graduan untuk mempunyai kenangan bergraduasi dalam suasana kebiasaan baharu.

“Janji temu yang diperkenalkan ini mengambil kira pelbagai aspek berkaitan 4K dengan merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya sesi penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu itu akan dilaksanakan bermula 7 Nov ini sehingga 9 Jan tahun depan dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang namun tertakluk kepada sebarang pindaan.

Beliau berkata sesi penganugerahan itu akan dilakukan di UiTM Shah Alam dan seluruh kampus cawangan, berdasarkan pemilihan kampus terdekat oleh graduan tanpa mengambil kira tempat asal pengajian.

Mohd Azraai berkata melalui penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu itu, graduan masih berpeluang memakai jubah konvokesyen, merakamkan gambar kenangan dan menerima skrol serta transkrip sebagaimana istiadat konvokesyen secara konvensional.

Mengikut soalan lazim bagi penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu itu, sebanyak 22,834 graduan bagi Istiadat Konvokesyen UiTM ke-92 akan terlibat dalam sesi berkenaan. Graduan boleh membuat permohonan untuk menerima diploma dan ijazah masing-masing menerusi Sistem Janji Temu Penganugerahan Diploma/Ijazah di laman sesawang https://konvokesyen.uitm.edu.my/v1/.

Proses pelaksanaan penganugerahan itu pula akan mengambil masa antara tujuh hingga 15 minit bagi setiap graduan.Penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu dalam suasana kebiasaan baharu itu adalah bagi menggantikan Istiadat Konvokesyen UiTM ketika ini yang lazimnya dilaksanakan dua kali setahun.

Istiadat Konvokesyen UiTM kali ke-92 yang dijadualkan bermula 24 Mac lepas ditangguhkan berikutan penularan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lepas.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: