KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan jualan bernilai RM100 bilion menerusi Program Jualan Malaysia (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang berlangsung sejak Julai lepas.
Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi yakin sasaran itu dapat dicapai apabila kedua-dua kempen berakhir pada penghujung tahun ini susulan sambutan menggalakkan yang diterima sekarang.
“Kementerian juga menggalakkan lebih ramai dalam sektor peruncitan yang terlibat dalam PJM dan KBBM agar bersama-sama membantu pertumbuhan ekonomi negara dengan mengadakan jualan murah untuk mengalakkan rakyat berbelanja.

“Kita juga sedia maklum tempoh moratarium telah tamat, namun sebagai pembeli, rakyat perlu berbelanja mengikut kemampuan diri,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Jualan Negaraku Selamat dan Aktif anjuran Kumpulan Al-Ikhsan di pusat beli-belah MyTown, di sini hari ini.
Menurutnya pengguna mempunyai pilihan untuk membeli-belah dalam talian sekiranya bimbang untuk keluar berbuat demikian susulan peningkatan kes COVID-19 di negara ini sekarang.
“Diharapkan lebih ramai peruncit menawarkan jualan dalam talian seperti Al-Ikhsan ini,” katanya.
Kumpulan Al-Ikhsan mengadakan jualan besar-besaran bermula bulan ini hingga Disember di kesemua 135 cawangannya di seluruh negara.