Terkini

KPDNHEP serbu stor seleweng minyak masak bersubsidi di Pulau Indah

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu sebuah stor industri di Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor pada Isnin lepas (2 Nov) yang dijadikan tempat aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata stor itu menjadi tempat untuk melakukan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi paket 1kg untuk dipindahkan ke dalam bekas minyak masak industri.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata risikan mendapati sindiket beroperasi dengan mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi paket 1kg daripada pemborong berlesen.

“Minyak masak bersubsidi paket 1kg ini seterusnya akan dileraikan dan dikumpulkan di dalam satu tangki fiber yang berkapasiti 1,000 liter untuk dipasarkan dengan harga bukan subsidi yang memberikan keuntungan yang tinggi,” katanya.

Dalam serbuan tersebut, katanya KPDNHEP menemukan 6,919 bungkus minyak masak 1kg melibatkan dua jenama yang terdapat di pasaran dan 13 unit tangki fiber yang berisi minyak masak anggaran 1,000 liter setiap satu.

“Sisa plastik minyak masak bersubsidi paket 1kg yang telah dikoyakkan dan peralatan untuk pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki fiber industri turut disita. Jumlah sitaan dianggarkan bernilai RM58,212.50,” katanya.

 Iskandar Halim berkata tujuh pekerja lelaki warga asing berumur antara 18 dan 25 tahun yang berada di premis ketika serbuan dijalankan ditahan bagi membantu siasatan dan juga seorang lelaki tempatan berumur 42 tahun yang bertanggungjawab terhadap aktiviti di premis tersebut.

 Kes disiasat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah melibatkan urusan secara borong atau runcit barang kawalan iaitu minyak masak tanpa lesen sah, katanya.

Susulan serbuan itu, KPDNHEP turut menyerbu sebuah premis perniagaan di kawasan taman perindustrian tersebut yang terletak berhampiran lokasi stor berkenaan pada hari yang sama, dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti sindiket pemilikan minyak masak bersubsidi di stor pemindahan minyak masak itu.

Iskandar Halim berkata dokumen bukti bagi pembelian serta pembekalan dan buku stok barang kawalan oleh perniagaan tersebut disita bagi tujuan siasatan di bawah Peraturan 13 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Orang ramai disaran menyalurkan maklumat dan melaporkan kegiatan yang mencurigakan kepada KPDNHEP melalui hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088/ 6245 di Enforcement Command Centre (ECC) atau di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: