Politik

Ku Li umum tidak akan hadir perbahasan Belanjawan 2021

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan menyertai perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat kerana keabsahan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dapat ditentukan.

Tengku Razaleigh menjelaskan pendiriannya itu menerusi surat bertarikh 19 November lalu kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

“Oleh kerana kesahihan kerajaan kini masih belum ditentukan, saya terikat dengan suara hati dan sumpah jawatan yang telah saya lafazkan.

“Maka tidak dapat turut serta dalam perbahasan belanjawan,” kata Tengku Razaleigh menerusi surat itu.

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu menjelaskan mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan tanpa memastikan sama ada perdana menteri dan jemaah menteri sah atau tidak dalam jawatan akan menjejaskan salah satu prinsip penting perlembagaan.

“Mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan tanpa memastikan sama ada Perdana Menteri dan para Menteri beliau sah atau tidak dalam jawatan akan menjejaskan salah satu prinsip penting Perlembagaan.

“Ia akan menghasilkan akibat buruk dalam usaha kita mendukung Perlembagaan dan mempertahankan Kedaulatan Undang-Undang.”Ia juga mungkin mengakibatkan penggunaan rasuah politik untuk mengekalkan kuasa dan ini bercanggah dengan Perlembagaan.

“Setelah meneliti perkara ini saya berpendapat bahawa pada hakikatnya ‘rasuah politik’ akan menjahanamkan sistem demokrasi berperlembagaan kita dari dalam tidak ubah seperti ulat yang memusnahkan tunas dan bunga tanpa disedari.

“Pendapat di kalangan orang ramai ialah ‘rasuah politik’ dan wang akan memusnahkan negara tercinta ini dan sistem politik kita,” katanya.

Pada 25 September yang lalu, Tengku Razaleigh mengutus surat kepada Azhar dan menggesa agar usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat.

Namun Azhar dalam surat balasnya mencadangkan agar veteran UMNO berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan bagi memastikan usul tidak percaya itu dibentangkan.

Terdahulu, satu surat dalam bahasa Inggeris didakwa ditulis Tengku Razaleigh Hamzah menjadi tular di media sosial pada Ahad.

Pejabat Ahli Parlimen Gua Musang itu memaklumkan surat itu bukan yang sebenar dihantar kepada Speaker.

Perkara ini disahkan Tengku Razaleigh melalui posting di akaun Twitter rasminya pada Isnin.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: