Gaya Hidup

Wanita dalam kerjaya lelaki

Apabila kita bercakap tentang profesion juruteknik dalam industri penerbangan tentu sekali perkara pertama yang kita fikirkan ia satu kerjaya yang didominasi oleh golongan lelaki.

Bagaimanapun, berbeza dengan dua anak muda ini, Wafa Suhailah Husin dan Nur Zaedah Johari yang melihat kerjaya ini daripada perspektif berbeza yang menawarkan satu bentuk profesion yang lebih spesifik atau menyumbang kepada sektor ekonomi.

Kerjaya kedua-dua gadis ini seolah-olah bertentangan dengan norma dan berjaya membuktikan bakat mereka menerusi kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh tidak disia-siakan begitu sahaja.

Mereka mampu mencapai kedudukan yang tinggi dan memperoleh pendapatan yang lebih baik dalam profesion atau sektor yang diceburi yang sebelum ini dikuasai oleh golongan lelaki.

Wafa Suhailah Husin

Gadis kelahiran Sungai Buloh, Selangor berusia 24 tahun ini pernah membantu neneknya menjual nasi lemak dan lauk tengahari di gerai ketika menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berikutan latar belakang keluarganya yang susah.

Bapanya, Husin Harun, 51, yang pernah bekerja sebagai pemandu bas manakala ibunya, Salmiah Mohd Firdaus, 51, merupakan surirumah sepenuh masa. Dua adiknya yang masing-masing berusia 22 dan 14 tahun pula masih lagi belajar.

Sebagai anak kedua daripada tiga beradik, Wafa Suhailah Husin bertekad untuk mengubah nasib keluarga dengan mengambil keputusan memohon program Peneraju Skil Juruteknik Pesawat Berlesen yang ditawarkan oleh Yayasan Pendidikan Peneraju Bumiputera (Yayasan Peneraju) selepas memperoleh keputusan SPM yang memberangsangkan.

Wafa tidak menoleh ke belakang setelah melihat penawaran program pembiayaan berkenaan di laman sesawang Yayasan Peneraju dan menyahut cabaran menceburi bidang ini yang sering didominasikan oleh golongan lelaki.

“Keluarga saya bergelut dengan masalah kewangan selepas saya tamat pengajian Tingkatan 5 dan pilihan saya untuk melanjutkan pelajaran ketika itu juga terhad.

“Maka, saya amat bersyukur kerana diberi peluang menyertai program ini kerana ia membantu saya belajar tanpa perlu memikirkan mengenai kos pembelajaran seperti membayar tuisyen dan yuran peperiksaan.

“Bagi saya, program selama 3 tahun ini berjaya mencapai sasaran untuk mewujudkan jalan ‘paling singkat’ ke arah kerjaya dan indusri berpendapatan tinggi. Selain daripada pembiayaan, program ini turut membantu menyediakan penempatan pekerjaan selepas pelatih tamat program, tertakluk kepada prestasi pelatih sepanjang pengajian.

“Saya merasakan ia satu takdir apabila melayari laman sesawang Yayasan Peneraju ketika itu yang menawarkan pelbagai program pembiayaan. Alhamdulillah, selepas sebulan permohonan dibuat, saya telah mendapat panggilan temuduga daripada Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan kemudiannya diterima masuk,” katanya.

Wafa (dua dari kanan berdiri)

Segala usaha dan cabaran yang dilalui Wafa sepanjang tempoh program membuahkan hasil apabila beliau telah ditawarkan untuk berkhidmat sebagai juruteknik oleh MAB pada September 2017 sejurus menamatkan program pada tahun yang sama.

Mengimbau sejarah pembabitannya sejak memulakan kerjaya dalam bidang penerbangan,
beliau memulakan kerjaya sebagai juruteknik penyelenggaraan kabin dalaman di Hangar 6,
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan gaji asas RM1,800 (tidak termasuk elaun dan kerja lebih masa) dan kemudian dinaikkan pangkat kepada Juruteknik Pesawat Berlesen bagi pesawat jenis Boeing 737-800 dengan gaji asas RM2,000.

Perjalanan kerjaya Wafa semakin berkembang apabila beliau diberi kepercayaan untuk membantu kerja-kerja memeriksa pesawat sebelum penerbangan pada tahun 2019.

Wafa (duduk dua dari kanan)

Beliau seterusnya menduduki ujian lisan bagi pemeriksaan pesawat Airbus A350-900 dan lulus, membuatkan beliau berjaya mencapai gaji sasaran yang ditetapkan oleh Yayasan Peneraju iaitu RM3,800 termasuk kerja lebih masa.

Sepanjang lebih 3 tahun berkhidmat bersama MAB, Wafa telah berjaya mengumpul
pelbagai pengalaman baharu dan berpeluang menimba pengalaman dan menjelajah ke luar negara seperti di Filipina, India, Sri Lanka, Indonesia dan Australia.

Beliau yang kini memegang jawatan sebagai Licensed Aircraft Certifier amat berbesar hati kerana dapat berkhidmat dengan syarikat penerbangan kebangsaan.

Secara amnya, seorang Licensed Aircraft Certifier boleh memeriksa satu jenis pesawat (1 type rating) sahaja akan tetapi, Wafa memiliki kelulusan untuk memeriksa lima jenis pesawat (5 type rating) iaitu Boeing 737-800, Airbus A350, Airbus A330-200, Airbus A330-200F dan Airbus A330-300.

Wafa (kanan sekali)

Mendapat gelaran ‘flying technician’, Wafa mengakui dia tidak pernah mengimpikan untuk menaiki pesawat di bawah pemeriksaannya.

Beliau juga berasa sangat bersyukur kerana khidmat beliau masih lagi diperlukan dan dapat membantu keluarganya dan pada masa sama mencapai cita-cita yang diimpikan meskipun terpaksa mengharungi kejatuhan industri pelancongan dan penerbangan akibat pandemik COVID-19.

Terbaru, beliau ditempatkan di bangunan Satelit, KLIA bagi mengendalikan operasi kargo dan pesawat badan lebar yang kini mendapat permintaan tinggi disebabkan pandemik COVID-19.

Nur Zaedah Johari

Dilahirkan pada 18 Ogos 1992 di Kuala Lumpur, beliau merupakan anak sulung kepada pasangan Johari Itam dan Farizah Ahmad dan kakak yang tegas kepada 2 orang adik perempuan dan 2 orang adik lelaki iaitu Nur Hafizah (27), Muhd Hafiz Mansur (24), Nur Faezah (21), dan Muhd Fadzli (15).

Nur Zaedah dibesarkan di Kampung Sungai Tua Bharu, Batu Caves, Selangor dalam suasana yang penuh kasih sayang dan keluarga yang mementingkan pendidikan agama.

Ayah dan ibu beliau yang masing-masing berkhidmat di Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara Malaysia sentiasa menjadi inspirasi dan tunggak kejayaan beliau.

Nur Saedah (kanan sekali)

Sikap, dedikasi dan komited mereka dalam dunia pekerjaan menjadi satu contoh dan rujukan serta pada masa yang sama menyuntik semangat beliau untuk menjadi seorang insan yang proaktif dan sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan.

Nur Zaedah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Sains Fizik Gunaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2014.

Berbekalkan minat yang mendalam terhadap industri penerbangan, beliau memulakan langkah dengan menyertai program Peneraju Profesional Jurutera Pesawat Berlesen di mana beliau dilatih oleh syarikat penerbangan kebangsaan di Malaysia, Malaysia Airline Berhad (MAB).

Program latihan di Jabatan Latihan Kejuruteraan (Engineering Training Department) bertempat di Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selama 5 tahun telah mendidik beliau menjadi seorang individu yang tidak pernah kenal erti putus asa.

Berkat dorongan keluarga tercinta, beliau berjaya menamatkan program dan menjadi pelatih pertama di bawah tajaan Yayasan Peneraju yang memperoleh lesen Jurutera Penyelenggaraan Pesawat (DCAM Part 66) Kategori B2 (Avionics) pada Januari 2019.

Beliau juga muncul sebagai salah seorang pelatih terbaik dari kalangan pelatih Yayasan Peneraju untuk program ini dengan mendapat kelulusan cemerlang dalam semua peperiksaan yang didudukinya dengan sekali percubaan sahaja.

Tanggal Mac 2019, bermulalah perjalanan kerjaya beliau sebagai kakitangan Jurutera
Penyelenggaraan Pesawat di bahagian Operasi, Engineering and Maintenance Department KLIA sehingga kini.

Kepakaran beliau sebagai pemilik lesen B2 (Avionics) lebih tertumpu kepada sistem
Elektrikal, Instrumentasi, dan Radio.

Dengan gaji permulaan sebanyak RM1,800 (tidak termasuk elaun dan bayaran lebih masa), beliau membuka langkah menempuhi alam pekerjaan di dalam bidang yang diminatinya ini.

Sepanjang hampir 2 tahun bekerja, beliau telah berpeluang mendapatkan pengalaman dan bekerja bersama pelbagai kumpulan jurutera dan juruteknik untuk jenis pesawat lain yang dimiliki oleh MAB seperti model Airbus A330, A350, serta A380.

Sejak berkhidmat dari Mac 2019, beliau pernah berjaya mengumpulkan gaji kasar teringgi lebih daripada RM4,800 termasuk elaun dan gaji lebih masa.

Meskipun pendapatan beliau sedikit terjejas disebabkan oleh pandemik COVID-19, beliau berasa amat bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk berkhidmat di dalam bidang yang diminatinya ini.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak Yayasan Peneraju atas peluang yang diberikan.
“Sepanjang program untuk mendapatkan lesen Jurutera Penyelenggaraan Pesawat, hasil kerjasama antara Yayasan Peneraju dan MAB yang ditawarkan kepada saya banyak memberi kemudahan kepada saya dari pelbagai sudut, teori serta praktikal. Saya berjaya mendapatkan lesen saya dalam masa yang diberikan.

Secara tidak langsung saya dapat mengukuhkan kemahiran ‘hands on’ dan cara menyelesaikan masalah berkaitan penyelenggaraan pesawat.

“Saya sangat berbesar hati dan bersyukur dapat menjadi salah seorang penerima faedah Yayasan Peneraju. Pertolongan ini sedikit sebanyak membantu keluarga saya daripada segi kewangan dan meringankan beban keluarga saya untuk menampung perbelanjaan adik-beradik saya yang lain.”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: