Kuala Lumpur – Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, merangkap Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar hari ini menyumbangkan hampir 150 ribu keping pelitup muka untuk kegunaan penduduk Bandar Tun Razak yang akan disampaikan secara berperingkat.
Prihatin dengan keadaan rakyat yang memerlukan pelbagai bentuk bantuan di kala negara berhadapan dengan keadaan ekonomi dan cabaran kesihatan yang getir, beliau yang sebelum ini turut turun padang membantu masyarakat setempat dengan sumbangan makanan, kewangan, keperluan asas dan sebagainya melihat keperluan pelitup muka juga sebagai satu kewajipan pada masa kini.
Tumpuan bantuan diberikan kepada Penduduk Perumahan Rakyat/ Perumahan Awam, pasar-pasar, kawasan tumpuan awam dan mereka yang memerlukan. Tujuan pemberian pelitup muka ini adalah tanda ingat mengingati agar bersama-sama membudayakan norma baharu dalam mematuhi SOP yang ditetapkan.

Menurut Kamarudin, rakyat perlu bersama-sama dengan Kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19 dan usaha ini akan berjaya sekiranya disokong semua pihak.
“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos pembelian pelitup muka kepada masyarakat” katanya.
Sebagai tanda penghargaan kepada anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang bertugas di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak khususnya yang menjalankan tugas meronda, sebanyak 12 ribu keping pelitup muka dan pencuci tangan (hand sanitizer) turut disumbangkan dalam masa terdekat.
Diharapkan ianya dapat membantu menjaga kesihatan pasukan keselamatan yang setiap hari berhadapan dengan risiko wabak Covid-19.
